KUALA LUMPUR: Unit Anjing Pengesan (K9) akan memulakan penugasan dalam Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di kawasan rusuhan bermula tahun depan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, keperluan khidmat anjing pengesan yang dikenali sebagai anjing rusuhan itu adalah inisiatif mempelbagaikan tugasan haiwan berkenaan.
“Sekarang, kita sudah ada 10 ekor (anjing pengesan) yang sudah diluluskan dan Insya-Allah tahun depan kita akan mulakan penugasannya.
“Logiknya penggunaan anjing ini adalah apabila ada orang Islam yang nampak (anjing pengesan), mereka akan berundur dan kaedah ini sesuai dalam situasi rusuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penutupan Kursus Asas Menunggang Kuda Siri 2/2023 di Markas FRU di Cheras, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 30 peserta kursus yang dilaksanakan selama tujuh minggu bermula 3 Julai lalu hingga hari ini menerima lencana daripada Hazani sebagai tanda tamat kursus berkenaan.
Hazani berkata, beliau juga ada melontarkan idea untuk menubuhkan pasukan khas anjing pengiring (escort dog) dalam penugasan mengiring (escort).
“Dari segi kemahiran melatih anjing berkenaan, kita akan belajar dari negara luar.
“Ini kerana sebelum ini ada situasi yang berlaku di Perancis di mana anjing terbabit membantu menyelamatkan tebusan,” katanya.
Bagi penugasan Unit Berkuda pula, beliau berkata, pihaknya mahu unit berkenaan digunakan di lokasi tumpuan pelancong seperti di Melaka dan Bukit Bintang.
“Cuma kita perlu melihat semula dari segi pelaksanaan dari segi kebersihan dan lain-lain perkara berkaitan,” katanya.
Mengulas mengenai situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, beliau berkata, proses berkempen dan mengundi berlangsung dengan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku.
“Kita berterima kasih kepada petugas (pegawai dan anggota polis) dalam PRN kali ini yang mengharungi penugasan itu dengan baik.
“Kita juga berterima kasih kepada rakyat yang berdisiplin dan mematuhi undang-undang ditetapkan. PRN kali ini adalah salah satu PRN yang aman dan damai kerana rakyat lebih matang,” katanya. -UTUSAN