Juruteknik kanan TNB maut kereta dipandu bertembung pacuan empat roda - Utusan Malaysia

Juruteknik kanan TNB maut kereta dipandu bertembung pacuan empat roda

KEADAAN kereta jenis Perodua Kancil dan pacuan empat roda yang remuk dalam kemalangan di  Kilometer 22, Jalan Dungun-Bukit Besi, berhampiran Kampung Padang Pulut, Dungun, petang tadi. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang juruteknik kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 22, Jalan Dungun-Bukit Besi, berhampiran Kampung Padang Pulut, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang, Sukri Md. Said@Awang, 42, berasal dari Bukit Kuang, Kemaman meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dari arah bandar Dungun.

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu pesara guru dari arah bertentangan dikatakan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan Perodua Kancil yang dipandu mangsa.

Impak pelanggaran itu menyebabkan pacuan empat roda tersebut terbalik manakala Perodua Kancil yang dipandu mangsa remuk di bahagian hadapan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shahrizal Shamsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 4 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan Sukri yang tersepit di tempat duduk pemandu dan kita terpaksa menggunakan alatan khas untuk memotong besi kenderaan itu bagi membawa keluar mangsa.

“Pemandu Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda yang tidak mengalami sebarang kecederaan berjaya keluar dengan bantuan orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya