Jualan Agro Madani di Kedah rekod jualan RM2.1 juta

Jualan Agro Madani di Kedah rekod jualan RM2.1 juta

ZURIANA Mat Adam (dua kiri) bertemu peniaga ayam ketika hadir pada program Jualan Khas Agro Madani di tapak Pasar Tani FAMA di Jalan Peteri, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah mencatat nilai jualan sebanyak RM2.1 juta melalui penganjuran program Jualan Agro Madani bagi tempoh Januari sehingga kini melibatkan 111 buah lokasi jualan.

Pengarah FAMA Kedah, Zuriana Mat Adam berkata, penjualan melalui platform tersebut berjaya menjimatkan perbelanjaan orang ramai sebanyak RM646,784 apabila harga barangan yang dijual diberi diskaun antara lima hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

“Program ini merupakan penjenamaan semula Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang menawarkan pelbagai barangan antaranya produk segar seperti ayam, ikan, daging dan barangan kawalan iaitu gula, minyak masak, tepung serta beras.

“Ini antara usaha untuk membantu meringankan beban semua golongan termasuk B40 selain membolehkan 1,097 peniaga mempunyai lokasi memasarkan produk jualan mereka,” katanya ditemui pada pelancaran Jualan Khas Agro Madani di Tapak Pasar Tani Jalan Peteri hari ini.

Menurut Zuriana, pelanggan berpeluang mendapatkan barangan di bawah pakej Kombo Agro Madani berharga RM6.60 yang mengandungi 10 biji telur ayam, satu paket minyak masak bersaiz satu kilogram, bihun, set kordial sirap dan bawang besar serta bawang merah.

“Sayur-sayuran segar berdaun juga dijual dengan harga RM1 bagi satu ikat selain buah-buahan tempatan boleh didapati dengan harga rendah. Ini semua ditawarkan oleh peniaga bertujuan membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan meluaskan jualan berkenaan meliputi kawasan perumahan dan di pekarangan pejabat kerajaan terpilih di negeri ini.

“Sebelum ini kita hanya menganjurkan Jualan Agro Madani di Pasar Tani dan Pasar Tani Kekal FAMA sahaja tetapi selepas mencatat jualan memberangsangkan, program ini akan diperluas di kawasan kediaman dan tempat tumpuan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya