JPN nafi lulus 54,000 warga China dapat warganegara

JPN nafi lulus 54,000 warga China dapat warganegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan kira-kira 54,000 warga China sedang dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia kononnya untuk menjadi pengundi DAP.

JPN dalam kenyataan memaklumkan, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution semasa sidang akhbar sempena lawatan kerja rasmi beliau ke jabatan itu pada 9 Januari dimanipulasi dari sebahagian kenyataan penuh menteri itu.

Sedangkan, katanya, intipati kenyataan Menteri ketika itu adalah memaklumkan antara komitmen beliau untuk membuat keputusan sama ada lulus atau gagal terhadap permohonan kewarganegaraan yang tertunggak sekian lama tanpa dibuat sebarang keputusan.

“Jumlah 54,000 permohonan tersebut adalah merujuk kepada jumlah permohonan dari tahun 2017 sehingga 2022 meliputi pelbagai permohonan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dan dari pelbagai latar belakang keturunan dan negara asal.

“Berdasarkan rekod JPN dari 2019 hingga 31 Julai lalu, hanya 45 orang individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia secara keseluruhan (Perkara 19(1) mengikut Negara asal),” katanya.

Mengulas lanjut, JPN berkata, Saifuddin ketika itu juga turut memaklumkan beliau menyasarkan 10,000 permohonan dapat dibuat keputusan pada tahun ini.

Katanya, komitmen itu adalah tindakan proaktif KDN kerana berpandangan keperluan membuat keputusan dalam tempoh yang wajar, antara lain bertujuan memberi keadilan kepada pemohon yang memohon sekian lama yang meliputi permohonan di bawah Perkara 15(2), 15A dan 19(1).

Jelasnya, sekiranya permohonan mereka ditolak, mereka dapat mencari alternatif lain dalam meneruskan kehidupan di negara ini ataupun di negara lain.

“JPN sentiasa ingin menegaskan di mana Permohonan Kewarganegaraan adalah sentiasa tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkuat kuasa.

“Permohonan kewarganegaraan hanya boleh dikemukakan setelah seseorang itu memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen,” katanya.

Pada masa sama, JPN berharap dengan ini dapat menjelaskan kekeliruan dan keresahan orang ramai.

Katanya, penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

“Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya