JPA belum tetap peratus kenaikan gaji penjawat awam menerusi SSPA

JPA belum tetap peratus kenaikan gaji penjawat awam menerusi SSPA

ZULKAPLI Mohamed pada sidang akhbar di Putrajaya. -UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) belum menetapkan sebarang peratus kenaikan gaji sesuai bagi 1.58 juta penjawat awam menerusi Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan dilaksanakan kelak.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkaplli Mohamed berkata, cadangan peratusan kenaikan gaji itu perlu mengambil kira prestasi semasa ekonomi negara sebelum diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk diperhalusi dan dipersetujui.

“Kita tidak akan beri (cadangan kenaikan) pada kadar yang boleh menjejaskan keupayaan kerajaan untuk membayar gaji kepada penjawat awam.

“Malah, kita juga mahu elakkan kenaikan harga barangan yang tinggi di pasaran apabila gaji itu dinaikkan kelak,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Kajian Sistem SSPA di sini, hari ini.

Katanya, Kajian Sistem SSPA itu digerakkan menerusi tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, Jawatankuasa Teknikal Kajian SSPA dan Jawatankuasa Kerja Kajian SSPA yang diketuai beberapa ketua setiausaha kementerian.

Zulkapli berkata, kajian SSPA ini dijangka dimuktamadkan pada penghujung tahun depan yang diperkenal bagi mengangkat martabat perkhidmatan awam dan melahirkan pentadbiran cekap, amanah dan berintegriti.

“Setakat 9 Ogos lalu, kami menerima 30,155 cadangan membabitkan 15,495 responden (penjawat awam) mengenai kajian SSPA itu di mana 23 peratus mencadangkan kenaikan struktur gaji, kenaikan elaun (23 peratus) dan kemudahan lain (18 peratus),” katanya.

Katanya, cadangan itu akan diteliti dan diperhalusi bagi memastikan SSPA baharu itu seiring dengan hasrat yang diimpikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zulkapli berkata, kajian itu akan mengambil masa selama setahun setengah merangkumi kajian kemampanan sistem saraaan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat sebelum SSPA baharu boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, Perdana Menteri juga bersetuju supaya JPA memberi fokus untuk melihat terlebih dahulu struktur gaji dan elaun penjawat awam ketika ini.

“Kita harapkan antara bulan Oktober hingga awal Januari tahun depan kemungkinan akan pada pengumuman berita baik oleh kerajaan untuk penjawat awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN