Johor naik taraf bangunan bersejarah, pusat pelancongan

Johor naik taraf bangunan bersejarah, pusat pelancongan

ONN Hafiz Ghazi meninjau Muzium Diraja Sultan Abu Bakar yang dalam proses kerja penambahbaikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri sedang giat menjalankan gerak kerja bagi membaik pulih dan penambahbaikan beberapa destinasi pelancongan dan tempat tarikan pelancong bagi menarik kehadiran pengunjung ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gerak kerja yang dijalankan itu bagi membaik pulih bangunan bersejarah dan landskap Johor seperti Muzium DiRaja Sultan Abu Bakar, Muzium Tokoh, Zoo Johor dan Air Terjun Kota Tinggi.

“Untuk makluman, satu mesyuarat penyelarasan naik taraf khazanah-khazanah tersebut telah diadakan bagi memastikan gerak kerja dilaksanakan secara efektif dan tuntas.

“Sebagai contoh, kerja-kerja pembaikan Muzium DiRaja Sultan Abu Bakar kini mencapai tahap kemajuan 90 peratus. Insya-Allah, ia dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

“Bagi Air Terjun Kota Tinggi yang rosak disebabkan banjir buruk, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi tujuan naik taraf dan keselamatan pengguna sebelum ia dapat dibuka,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Naik Taraf Khazanah-khazanah di Johor, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memastikan gerak kerja dan segala perancangan naik taraf dapat dilaksanakan dengan baik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, pihaknya perlu buat kajian secara menyeluruh di Air Terjun Kota Tinggi dari aspek keselamatan sebelum ia dibuka.

“Kita tidak mahu terburu-buru melakukan kerja-kerja baik pulih beberapa kemudahan infrastruktur yang rosak termasuk chalet-chalet disebabkan banjir buruk sebelum ini.

“Saya juga telah meminta pihak Majlis Daerah Kota Tinggi untuk membuat kajian mengenai aspek keselamatan ekoran berlakunya insiden kepala air sebelum ini. Selepas itu, barulah kita fikirkan soal kerja pembaikan yang perlu dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, Zoo Johor yang hampir menjangkau usia 100 tahun bakal berwajah baharu setelah ia dibuka semula kepada umum pada tahun hadapan.

Beliau berkata, kerja-kerja pembangunan semula salah satu tarikan pengunjung di tengah pusat bandar raya ini dijangka akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya