JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan sebanyak 3,665 kompaun berjumlah RM1.82 juta kepada pemilik premis di negeri ini atas pelbagai kesalahan berkaitan denggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, kompaun tersebut dikeluarkan JKNJ sejak Januari tahun ini hingga semalam.
Bagaimanapun katanya, hanya 62 peratus daripada jumlah kompaun itu dibayar.
“Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 5,886 kes denggi direkod dengan peningkatan sebanyak 272 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu hanya 1,582 kes.
“Daerah yang melaporkan kes tertinggi adalah Johor Bahru sebanyak 4,402 kes diikuti Kulai (515), Batu Pahat (199), Kluang (193), Kota Tinggi (142), Segamat (133), Muar (112), Tangkak (100), Pontian (56) dan Mersing (34).
“Manakala kumulatif kes kematian denggi sehingga Minggu Epid 31/2023 pula adalah sebanyak sembilan kes,” katanya kepada pemberita.
Tambah Tian Soon, pemeriksaan dijalankan JKNJ bagaimanapun mendapati masih terdapat tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan nyamud Aedes di dalam rumah sekali gus menunjukkan masyarakat masih belum peka terhadap keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Sehubungan itu, masyarakat perlu sentiasa melaksanakan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk di dalam dan luar rumah serta menjaga kebersihan dengan memastikan tiada tempat atau bekas menakung air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk,” jelasnya.-UTUSAN