DENGKIL: Taktik sebuah sindiket yang cuba menyeludup rokok tanpa cukai dipercayai ke Australia gagal selepas berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi serbuan 1 Ogos lalu.
Dalam serbuan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor itu, sebanyak 1,043,200 juta batang rokok putih jenama Double Happiness bernilai RM136,112 berjaya dirampas dengan jumlah duti dan cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM702,123.20.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah JKDM, Wong Pun Sian berkata, rokok putih itu ditemukan dalam kontena 20 kaki yang disembunyikan dalam ruang perabot terpakai.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dagangan dalam sebuah kontena itu diikrar sebagai perabot terpakai dan ia berbeza dengan isi kandungan fizikal dagangan yang ditemukan.
“Siasatan awal mendapati, sindiket menyorokkan rokok putih di dalam ruangan tersorok perabot-perabot yang di buat khas seperti meja perabot dan lain-lain bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.
“Kami turut menahan seorang lelaki berusia 30an yang juga ejen penghantaran untuk siasatan lanjut selain merakam keterangan enam saksi lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana membuat akuan tidak betul dan memalsukan dokumen di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Pun Sian berkata, pasukannya turut merampas 3.03 juta batang rokok bernilai RM 338,720 dengan jumlah duti dan cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM2,034,999.20.
Menurutnya, rampasan membabitkan rokok putih pelbagai jenama seperti JDB John, Zon King, Canyon dan UR serta rokok kretek jenama LA, Gajah Baru, Surya, Sempoerna, Dji Sam Soe, dan Touro.
“Rampasan itu dilakukan di sebuah premis tidak bertanda di 33, Jalan 4/33B, Batu 6 1/2 Jalan Kepong, MWE Kepong Commercial Park, 52100 Kepong, Kuala Lumpur.
“Kami turut menyita kenderaan bernilai RM 48,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang-barang tak berkastam,” katanya.
Katanya, siasatan mendapati, rokok putih dan kretek yang dirampas itu adalah bagi pasaran tempatan memandangkan tiada sebarang dokumen pengimportan ditemui.
Sementara itu, katanya, siasatan lanjut mendapati, kedua-dua kes tidak saling berkait dan menggunakan modus operandi berasingan. – UTUSAN