"Jika UMNO jaguh Melayu, kenapa tidak dapat keadilan untuk pemimpin sendiri?"

“Jika UMNO jaguh Melayu, kenapa tidak dapat keadilan untuk pemimpin sendiri?”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Mohd. Nazifuddin Najib mempersoalkan apakah usaha UMNO dalam mendapatkan keadilan kepada pemimpinnya sendiri terutama dalam pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak jika benar parti itu merupakan jaguh orang Melayu.

Anak lelaki kepada bekas Perdana Menteri itu membangkitkan persoalan tersebut sebagai mengenang genap setahun tempoh Najib dipenjarakan.

“Jika UMNO hari ini yang mana adalah sebahagian daripada kerajaan dan jaguh orang Melayu, kenapa kita (UMNO) tidak boleh mendapatkan keadilan untuk pemimpin kita sendiri.

“Jika Tun Razak dipenjarakan hari ini dan bukan DSN (Datuk Seri Najib), adakah kita akan dapat keadilan untuknya?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu berkata, sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, rakyat mula bersuara bahawa ia bukan sekadar isu ekonomi dan keperluan asas tetapi isu prinsip dan hak asasi manusia.

Beliau berkata, apa yang sedang berlaku kepada bapanya sekarang adalah sesuatu yang zalim dan cukup menyedihkan.

Katanya, dengan ulasan mudah oleh seorang Hakim yang menghakimi Najib di mana RM42 juta adalah bukan hak beliau untuk disedekahkan kepada rakyat, natijahnya beliau disumbat di belakang tirai besi.

“Duit ini yang bukannya dari hasil rompakan atau mana-mana sumber yang salah di sisi perundangan, bahkan bukan pula dari kantung KWAP tetapi diberi oleh syarikat-syarikat perniagaan bagi tujuan CSR (tanggungjawab sosial korporat).

“Malahan, terbukti berkali-kali oleh pihak bank dan SPRM dalam perbicaraan itu akan terdapatnya ‘money trail’ bahawa ayahanda turut menerima sekurang-kurangnya RM642 juta sumbangan mahupun derma dari Arab Saudi.

“Ini termasuk pindahan terus dari akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi ke akaun ayahanda. Dokumen pembuktian ini telah pun ‘leak’ dan tersebar meluas di lapangan media sosial,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Nazifuddin berkata, hasil pemberian mahu pun derma ini tidak sekali-kali digunakan untuk kemewahan peribadi, malah dengan nyata diguna pakai untuk membantu rakyat dalam ketika negara dilanda musibah seperti banjir skala besar sedikit masa dulu.

Tidak ketinggalan disalurkan kepada semua masjid dalam negara sepanjang empat tahun berturut-turut untuk pembangunan masjid serta program ilmiah di masjid tersebut.

“Namun ramai tak faham isu sebenar kes SRC dan tidak mengikut perbicaraan secara rapi. Golongan ini masih ada persepsi bahawa ayahanda telah mencuri RM42 juta tersebut.

“Dan naratif ini menjadi lebih hangat dengan permainan ‘spin’ ahli-ahli politik yang secara nyata bermusuhan dengan ayahanda mahupun secara sembunyi,” katanya.

Beliau dan ahli keluarga amat tidak faham serta amat kecewa kepada rakyat, yang mana bagaikan tidak langsung menghargai jasa-jasa ayahanda menaikkan negara ini sepanjang beliau memegang tampuk pemerintahan negara.

Malah, katanya, bukti kecemerlangan ini mudah diperoleh di saluran media sosial atau enjin carian dan bukan hanya rekaan kami sekeluarga untuk menceritakan kesedihan terhadap hukuman penjara untuk bapanya.

“Setahun berlalu, keadilan buat ayahanda bagaikan sirna. Ayahanda masih di belakang tirai besi, masih cuba tersenyum untuk kita semua.

“Sejujurnya kami ahli keluarga DSN tidak dapat membendung rasa kecewa kerana setiap pengorbanan yang beliau lakukan dalam memberikan khidmat untuk rakyat dan negara ibarat mengorbankan nyawanya ini tidak dihargai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya