Jelapang padi berusia 100 tahun di BBC Campsite - Utusan Malaysia

Jelapang padi berusia 100 tahun di BBC Campsite

ROSLI Mahmud (kiri) dan Azizan menunjukkan tong padi yang digunakan untuk memproses padi pada zaman dahulu di jelapang padi berusia lebih 100 tahun di BBC Campsite, Bawah Bukit, Chuping, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Zaman dahulu, jelapang padi cukup sinonim dalam kalangan pesawah sebagai tempat menyimpan padi yang lazimnya didirikan tidak jauh dari kawasan rumah.

Peredaran masa, rumah padi tersebut sudah tidak lagi berfungsi kerana padi yang sudah dituai akan terus dibawa ke kilang.

Bagi generasi lama, jelapang padi mempunyai nilai sentimental cukup berharga di mana pada zaman itu ia berperanan penting sebagai tempat menyimpan dan memproses padi secara sendiri.

Tidak mahu melihat jelapang padi di kawasan sebuah rumah di BBC Campsite di Bawah Bukit, Chuping di sini yang berusia lebih 100 tahun itu terbiar usang,­ Fadzli Rosli, 33, mengambil inisiatif menjadikan ia sebagai salah satu tarikan menarik di tapak perkhemahan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik BBC Campsite itu berkata, dengan mengekalkan struktur asal, jelapang padi dan zakat tersebut dinaik taraf sebagai tarikan baharu untuk pengunjung apabila berkhemah di sini.

“Jelapang padi di sini sudah lama sejak zaman tok wan dan ayah yang berusia sekitar 100 tahun. Daripada terus terbiar usang, kita naik taraf dengan mengekalkan struktur asal menjadi salah satu tarikan di sini.

“BBC Campsite di dalam kampung dikelilingi sawah padi dan berlatarbelakangkan Bukit Chu­ping itu telah beroperasi sejak 2021 lagi. Ramai khususnya pe­ngunjung luar datang berkhemah di sini bagi merasaikan suasana sebenar kampung,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Fadzli, Rosli Mahmud, 72, berkata, jelapang padi pada zaman dahulu menjadi tempat simpanan padi dan rumah padi di sini juga menjadi lokasi penduduk sekitar membayar zakat padi.

Katanya, sekarang jelapang padi ini sudah tidak ada dan mungkin ramai dalam kalangan anak muda tidak mengetahui mengenainya.

“Dahulu, pesawah ini proses padi sendiri. Sekarang selepas tuai terus dihantar ke kilang. Dahulu walaupun agak sukar namun hasilnya pula banyak berbanding sekarang,” katanya.

Abang kepada Rosli, Azizan, 79, pula berkata, jelapang padi tersebut lazimnya dibuat daripada bahan asas seperti rumah biasa dengan dinding pula menggunakan buluh yang telah dibelah serta dianyam manakala atap pula biasanya menggunakan atap nipah.

“Ia menjadi tempat simpanan padi dan orang juga datang membeli di sini. Dahulu kita proses sendiri, pukul di dalam tong padi bagi mengeluarkan padi daripada tangkal.

“Selain itu, zaman dahulu, ia juga dijadikan jelapang zakat padi. Pada zaman dahulu, pesawah membayar zakat padi sebanyak 16 gantang atau satu nalih bagi setiap 160 gantang atau satu kunca hasil yang diperoleh,” kata pesawah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya