Jawatan Menteri Besar takdir, amanah Allah - Nasuruddin

Jawatan Menteri Besar takdir, amanah Allah untuk saya- Mohd. Nasuruddin

MOHD. Nassuruddin Daud semasa menyampaikan kuliah jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti Datuk Mohd. Nasuruddin Daud berkata, jawatan Menteri Besar Kelantan yang diberikan kepadanya adalah takdir Allah SWT dan amanah serta tanggungjawab besar yang perlu dipikul.

Mohd. Nassuruddin berkata, beliau sendiri tidak pernah bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar malah merasakan masih ada individu lain lebih layak untuk menjawat jawatan penting itu selain dirinya.

“Ambo (saya) tidak pernah bercita-cita nak jadi Menteri Besar. Ambo sendiri mencadangkan nama orang lain yang lebih layak semasa pemilihan calon untuk jawatan ini baru-baru ini.

“Tetapi ini takdir Allah ke atas diri ambo. Semua ini amanah dari Allah, kepimpinan parti dan rakyat di negeri ini kepada ambo,” katanya semasa menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu Tok Guru, di sini hari ini.

Ketua Penerangan Pas negeri itu, memberitahu, beliau mahu seluruh rakyat Kelantan untuk bersama-samanya memperjuangkan serta menegakkan Islam dan seterusnya membangunkan negeri ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat hanya perlu taat kepada pemimpin yang beriman kepada Allah dan sentiasa memperbetulkan kesilapan sesama sendiri.

“Kalau saya buat silap tolonglah perbetulkan dan berikanlah nasihat serta pandangan yang baik.

“Saya juga minta dijauhkan daripada sifat pembohong dan khianat sepanjang memegang amanah ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mohd. Nassuruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 bagi penggal ke-15 di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Mohd. Nassuruddin dipilih oleh Pas bagi menggantikan Datuk Ahmad Yakob yang mengambil keputusan berundur ekoran masalah kesihatan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya