Jangkitan kes influenza terkawal - Utusan Malaysia

Jangkitan kes influenza terkawal

ZALIHA Mustafa (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang pesakit yang menerima rawatan Klinik Kesihatan Manir, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jangkitan kes influenza di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal dan semua fasiliti kesihatan sedia ada mampu menampung pesakit sekiranya ada berlaku peningkatan dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, setiap fasiliti kesihatan awam juga disediakan pusat saringan demam bagi menangani kes yang mempunyai gejala influenza.

“Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk minggu epidemiologi ke 30 pada tahun ini (dari 23 Julai hingga 29 Julai 2023), kadar konsultasi kes penyakit seperti influenza (ILI) di klinik kesihatan adalah 6.3 peratus.

“Ini bermaksud, daripada 100 pesakit ada enam yang menghidap influenza dan jumlah itu merekodkan sedikit penurunan sebanyak 0.1 peratus berbanding minggu sebelum itu (6.4 peratus).

“Kadar kemasukan ke wad hospital pula adalah 7.1 peratus pada minggu epidemiologi ke-30, menurun sebanyak 0.4 peratus berbanding minggu sebelum itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong.

Klinik tersebut mula dibina pada Disember 2016 dan siap sepenuhnya pada September 2019 dengan kos sebanyak RM19.7 juta.

Bangunan baharu itu yang menggantikan klinik lama berusia 54 tahun telah dilengkapi pelbagai fasiliti moden berteknologi tinggi dan mula beroperasi pada Januari 2020 dengan kapasiti 300 pesakit setiap hari.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, KKM akan memberikan vaksin influenza kepada petugas kesihatan kerana mereka adalah barisan hadapan sebelum diperluaskan kepada rakyat yang mempunyai risiko kesihatan.

“Kita jangka proses pemberian vaksin itu akan bermula dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, keadaan kesesakan di hospital swasta seluruh negara semakin membimbangkan apabila kebanyakan pesakit adalah mereka yang dijangkiti influenza.

Pada Rabu lalu pula, Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disahkan dijangkiti influenza dan diarahkan oleh doktor untuk berehat selama tiga hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya