Jangka 85 peratus pengundi DUN Selat Klang mengundi - Utusan Malaysia

Jangka 85 peratus pengundi DUN Selat Klang mengundi

Selat Klang
ABDUL Rashid Asari (kiri) bertegur sapa dengan sekumpulan pengundi di SMK Telok Gadong, Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebanyak 85 peratus daripada lebih 40,000 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Selat Klang dijangka akan turun mengundi pada hari ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan tersebut, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, jangkaan tersebut dibuat berdasarkan tinjauan yang dibuatnya di beberapa pusat mengundi dalam DUN tersebut pagi ini.

“Saya jangka ada yang tidak mengundi mungkin disebabkan mereka mempunyai urusan lain di luar Selangor, tetapi saya mereka cubalah mengundi juga.

“Kalau 85 peratus pengundi yang mengundi hari ini pun, bagi saya ini pun sudah cukup baik kerana jumlah peratusan itu tinggi,” katanya ketika meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Gadong, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Abdul Rashid hadir Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang kira-kira pukul 8.25 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor menzahirkan penghargaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di kesemua pusat mengundi dalam DUN Selat Klang bagi memastikan proses mengundi berjalan lancar.

“Saya lihat ada petugas SPR yang datang tolak pengundi yang berkerusi roda ke peti undi dan satu pujian yang harus diberikan.

“Selain itu, seseorang pengundi tidak perlu menunggu lama untuk mengundi walaupun pagi tadi di SK Sungai Udang, ramai yang sudah beratur seawal pukul 8 pagi,” ujar penyandang kawasan DUN berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Abdul Rashid berjaya memenangi DUN Selat Klang dalam pertandingan yang membabitkan lima penjuru menewaskan lawan terdekatnya, Dr. Halimah Ali dari PAS dengan majoriti 500 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya