SHAH ALAM: Calon dan penyokong-penyokong parti politik diingatkan tidak melakukan eksploitasi terhadap sebarang perkara berkaitan bangsa, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir Jumaat ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sejak penamaan calon pada 29 Julai lalu, tiada kertas siasatan dibuka berhubung eksploitasi isu 3R terhadap mana-mana calon atau penyokong parti politik.
“Setakat ini untuk Selangor tak ada lagi (kertas siasatan dibuka). Mungkin pada kes-kes lepas yang kita beri amaran, berkaitan institusi diraja paling banyak kita beri amaran, setakat ini tak ada kertas siasatan lagi dibuka.
“Kita harap berterusan sehingga habis kempen dan pada hari mengundi nanti pada 12 Ogos, saya harap tidak ada isu 3R dibangkitkan oleh ahli-ahli politik tak kira di pihak mana sekali pun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau menambah, polis meneruskan pemantauan terhadap perkara tersebut dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat mana-mana pihak yang membangkitkan hal berkaitan 3R.
Terdahulu, beliau melawat pusat pengundian awal di IPK Selangor dan menyaksikan proses tersebut oleh lebih 2,000 pegawai dan anggota yang mengundi di situ.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut memaklumkan polis memberi jaminan terhadap kawalan keselamatan untuk memastikan perjalanan lancar sepanjang kempen dan pilihan raya pada 12 Ogos ini dan meminta mana-mana pihak membuat laporan jika berdepan ugutan.
“Sesiapa pun, kalau ada mendapat ugutan lapor pada polis kita ambil tindakan, jangan keluarkan kenyataan tetapi tiada bukti yang mengatakan ada ugutan, ada ke tidak kita tak tahu.
“Untuk semua calon, Ketua Polis Negara pun memberi komitmen, dari segi keselamatan, kententeraman dan kelancaran pilihan raya, insya-Allah polis akan berjaga-jaga, pastikan pilihan raya berjalan lancar dan keselamatan, siapa yang cuba buat kacau kita akan ambil tindakan tegas,” ujarnya. – UTUSAN