IPOH: Sambutan Hari Kebangsaan tidak harus dipolitikkan sehingga pembangkang mahu menggunakan logo dan tema sambutan berbeza di empat buah negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku memandangkan sambutan itu adalah program kebangsaan.
Menurutnya, Hari Kebangsaan adalah salah satu pendekatan untuk menggambarkan semangat kebersamaan seluruh rakyat Malaysia.
“Ini adalah program kebangsaan, ia tidak sepatunya dipolitikkan, jangan pecah belahkan rakyat lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Malaysia 2023 peringkat negeri Perak di sini.
Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan pembangkang itu dan tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berharap cadangan itu tidak diteruskan.
“Ia sudah pasti akan memberi kesan tidak baik kepada negara.
“Sambutan kemerdekaan sepatutnya dijadikan langkah untuk memupuk perpaduan dan penyatuan bukan memecah belahkan rakyat,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza dengan yang digunakan di peringkat Persekutuan. – UTUSAN