Jangan kelirukan rakyat isu kos sara hidup - Utusan Malaysia

Jangan kelirukan rakyat isu kos sara hidup

FUZIAH Salleh (empat dari kiri) membuat pengumuman harga ayam pada Program Jelajah Jualan Rahmah peringkat negeri Terengganu di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Parti pembangkang diingatkan tidak mengelirukan rakyat berhubung isu kenaikan kos sara hidup tanpa data dan fakta yang tepat dalam kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kerajaan telah berusaha melaksanakan pelbagai program untuk menangani kos sara hidup rakyat di bawah inisiatif payung Rahmah selama ini.

Menurutnya, kerajaan juga telah berjaya meredakan kadar inflasi negara kepada 2.4 peratus dalam tempoh lapan bulan.

“Begitu juga dengan Indeks Harga Pengguna (IHP), semuanya menurun. Itulah yang sebenarnya berlaku. Data dan fakta ini tidak menipu.

“KPDN juga terus memperkasakan inisiatif payung Rahmah untuk terus membantu rakyat di seluruh negara agar rakyat mendapat untung (penjimatan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui  selepas merasmikan Program Jelajah Jualan Rahmah peringkat negeri Terengganu di Kuala Ibai hari ini.

Ditanya mengenai pembangkang yang masih menjadikan kenaikan kos sara hidup sebagai isu untuk menyerang kerajaan pula, Fuziah berkata pembangkang perlu menjadi lebih bertanggungjawab dengan bercakap berdasarkan fakta.

“Saya kira pembangkang harus lebih bertanggungjawab, cakap mestilah berlandaskan fakta.

“Jangan jadi pembangkang yang setakat nak popular, raih undi. Macam kita memang bercakap ada fakta dan data (kadar inflasi dan Indeks Harga Pengguna semasa),” katanya.

Tambahnya, program Jualan Rahmah anjuran KPDN juga diadakan di seluruh negara sepanjang masa dan tidak tertumpu di enam negeri yang terlibat PRN sahaja.

“Bukan sahaja di Terengganu, tapi program ini berlangsung di seluruh negara termasuk Sarawak, Melaka dan Johor (yang tidak terlibat PRN).

“Dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Jualan Rahmah, kita akan teruskan ke semua Parlimen dan DUN termasuk Terengganu selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya