Jalur Gemilang daripada pau landak dapat sambutan

Jalur Gemilang daripada pau landak dapat sambutan

ENGKU Adzhar Engku Mohamad Nor Azlan (barisan hadapan, tengah) bergambar bersama Jalur Gemilang daripada pau landak yang ditempah pelanggannya di Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pelbagai cara dilakukan rakyat Malaysia untuk menterjemahkan semangat patriotisme mereka dalam menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan ke-66 tidak lama lagi.

Bagi seorang usahawan, Engku Adzhar Engku Mohamad Nor Azlan, 28, sambutan kali ini sangat meriah dengan tempahan Jalur Gemilang yang disusun cantik daripada pau landak yang dihasilkannya.

Pemilik Quzni Sdn. Bhd itu menggunakan lebih 350 kuih pau landak bersaiz mini untuk memenuhi permintaan pelanggannya bagi sambutan hari kebangsaan di tadika, sekolah, syarikat swasta dan agensi serta jabatan kerajaan sekitar Kuala Terengganu.

“Pembuatan Jalur Gemilang ini mengambil masa dua hari kerana proses membentuk pau landak agak lama kerana pembuatannya 100 peratus masih secara manual.

“Cara pembuatannya juga rumit bermula dengan proses mewarna, menimbang sukatan, memasukkan inti, proses untuk mengeringkan dan teknik menggunting yang betul untuk menghasilkan bentuk landak sebelum menghasilkan Jalur Gemilang,” katanya ketika ditemui di kilangnya dekat Bukit Tok Beng di sini, semalam.

Ditanya idea menghasilkan pau landak itu, beliau berkata, ia adalah satu kelainan untuk menarik perhatian orang ramai memandangkan pau sinonim dengan bentuk bulat sahaja.

“Kami mula berniaga pada tahun 2014 namun persaingan sangat sengit ketika itu menyebabkan ibu saya, Mazni Abdul Rahman melakukan inovasi baharu bentuk pau landak pada tahun 2018.

“Alhamdulillah, percubaan kami berjaya menarik perhatian pelanggan terutama kanak-kanak yang sangat menggemarinya dan kami juga menambah bilangan pekerja untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Perniagaan kami juga mendapat bantuan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya