PUTRAJAYA : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil serius laporan berhubung isu penyertaan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam aktiviti politik.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, beliau sudah mengarahkan Jawatankuasa Tatatertib Jakim untuk bertindak segera berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Tegasnya, jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan ini.
“Sebagaimana yang sering diingatkan, semua warga kerja Jakim dinasihatkan agar sentiasa mematuhi semua peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“(Ini termasuk) tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan integriti dan imej perkhidmatan awam,” katanya di sini hari ini.
Kenyataan Jakim itu dipercayai merujuk penglibatan seorang pegawai kanan jabatan itu dalam aktiviti sebuah parti politik termasuk memuat naik hantaran bersifat ekstremis agama. – UTUSAN