KUALA LUMPUR: Kemunculan penyanyi, Vanessa Reynauld, 23, yang menjadi rebutan empat juri di sebuah pertandingan pencarian bakat sekelip mata menjadi topik perbualan di China.
Vanessa yang juga gadis kelahiran Klang, Selangor itu mencuri tumpuan apabila membawakan lagu Riding the Wind nyanyian asal David Huang di pentas program Sing! China 2023.
Susunan semula muzik dengan nafas baharu dan vokal Vanessa yang padu membuatkan keempat-empat juri iaitu Emil Chau, Joker Xue, Will Pan dan Henry Lau saling berebut mahu menjadi mentornya.
“Saya tak sangka keempat-empat juri akan pusing memilih saya.
“Melihat kepada pengalaman penyanyi legenda, Emil Chau menyanyikan lagu balada membuatkan saya memilih untuk menyertai kumpulannya.
“Selain itu dia juga bersungguh mahu melatih saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabat Sony Music Malaysia, sebentar tadi .
Persembahan Vanessa menjadi tular menerusi pelbagai platform media sosial China seperti Douyin, Weibo serta TikTok.
Malah, setakat ini, Vanessa menjadi peserta dengan tontonan video paling banyak dalam Youtube iaitu melebihi 200 ribu sejak ia dimuat naik dua hari lalu.
“Video saya tular dan terima banyak komen. Saya tak sempat baca semuanya, sekadar sempat baca apa yang ada di Instagram.
“Banyak yang memberikan sokongan. Saya terharu dan tak sangka ia berlaku sekelip mata,” katanya yang mengakui jumlah pengikutnya di laman sosial meningkat selepas tular.
Membawa harapan mengharumkan nama Malaysia, Vanessa sudah menjalani latihan selama dua bulan dan menyanyikan 30 lagu berbahasa China sebelum pertandingan.
Program Sing! China 2023 boleh ditonton menerusi Astro Go dan Astro Ria di saluran 308 setiap Jumaat.