Jabatan Perikanan pantau kehadiran spesia alga sebabkan air pasang merah - Utusan Malaysia

Jabatan Perikanan pantau kehadiran spesia alga sebabkan air pasang merah

FENOMENA air pasang merah yang melanda perairan Teluk Bahang sehingga ke Sungai Pinang di Balik Pulau, Pulau Pinang membimbangkan nelayan selepas ikan didapati mati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Jabatan Perikanan negeri akan terus mengambil sampel secara berkala bagi memantau kepadatan spesis alga, Noctiluca Scintillans di perairan Teluk Bahang, di sini sehingga ia mencapai paras yang selamat.

Jabatan Perikanan memaklumkan, keputusan awal analisis yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung bagi mengenal pasti ‘air merah’ yang hadir di perairan Teluk Bahang mendapati alga tersebut adalah bukan toksin iaitu spesies Noctiluca Scintillans dan tidak berbahaya kepada manusia.

Katanya, kepadatan sel fitoplankton itu sangat tinggi iaitu sebanyak 1 hingga 5 juta sel per liter yang mengesahkan berlaku ledakan alga di perairan ini.

”Kepadatan sel fitoplankton yang tinggi boleh menyebabkan kematian ikan terutamanya ikan dalam sangkar akibat penurunan oksigen terlarut dan alga juga telah meliputi insang dan menyebabkan ikan tidak mendapat oksigen.

ANTARA ikan dalam sangkar yang mati akibat fenomena air pasang merah di perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang.

”Untuk rekod, pada 2016, Noctiluca scintillans ini pernah menyebabkan ledakan yang menyebabkan air laut menjadi merah jambu di Kuala Gula, Perak 2016 dan menyebabkan ikan dalam sangkar mati,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, nelayan-nelayan di sekitar kawasan Teluk Bahang bimbang dengan fenomena yang didakwa sebagai air pasang merah melanda kawasan berkenaan sejak dua hari lalu.

Jabatan Perikanan berkata, pihaknya juga telah mencadangkan beberapa langkah mitigasi kepada penternak sangkar ikan seperti menuai segera semua ikan yang bersaiz pasaran jika ada tanda-tanda ikan lemas atau mati.

”Penternak juga disaran mengurangkan kepadatan ikan dalam sangkar dengan memindahkan ikan ke sangkar lain serta memantau kandungan oksigen terlarut.

”Mereka juga perlu menambah pengudaraan kepada ikan untuk menyelamatkan ikan ternakan yang masih hidup bagi mengelakkan pertambahan kerugian yang dialami oleh penternak,” katanya.

Mengulas lanjut, Jabatan Perikanan berkata, salah seorang dari enam penternak ikan di kawasan berkenaan iaitu Hing Moh Yok memberitahu
terdapat kehadiran ‘air merah’ pada pagi 28 Ogos lalu dan ‘air merah’ tersebut didapati sangat banyak dan mula pecah seterusnya hilang pukul 9.30 pagi.

”Hal ini juga telah menyebabkan kematian ikan berterusan di kawasan tersebut.

”Semalam, satu lawatan tapak telah dibuat oleh Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol bersama Pengarah Perikanan negeri, Zarina Zainuddin dan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan, Dr. Mohd. Nor Azman Ayub untuk melihat sendiri keadaan air merah dan kesan terhadap penternak ikan iaitu Moh Yok.

“Moh Yok mengganggarkan kerugian kasar yang dialami akibat kematian hampir 15 tan metrik ikan di sangkar ialah lebih kurang RM500,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya