LIMBANG: Isu bagi menangani populasi buaya di sungai daerah Limbang perlu diberikan perhatian agensi kerajaan dan Jabatan Perhilitan dalam usaha mengurangkan risiko yang menimpa nelayan.
Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah menggesa agar perbincangan berkaitan mencari titik penyelesaian sekali gus mengurangkan keresahan penduduk yang banyak bergantung kepada sungai sebagai mencari mata pencarian.
“Saya yakin Jabatan Perhilitan dan agensi berkenaan tahu bagaimana caranya mencari satu titik penyelesaian, pengurangan populasi dan sebagainya.
“Jadi ini semua perlu diambil kira kerana ancaman buaya sudah menjadi keresahan kepada penduduk,” katanya ketika ditemui media selepas melawat mangsa warga emas yang hilang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Ulak, Limbang.
Tambahnya lagi, kaedah pengurangan populasi buaya di Sungai Limbang dapat menangani ancaman buaya yang mengancam keselamatan penduduk yang mendiami pesisir Sungai Limbang.
Justeru itu, belaiu turut mendedahkan satu mesyuarat bersama Jabatan Perhilitan dan agensi kerajaan berkaitan akan diadakan bersama Residen Limbang untuk mencari penyelesaian menangani konflik antara manusia dan buaya.
“Saya difahamkan satu mesyuarat antara Residen Limbang bersama Jabatan Perhilitan dan agensi terlibat akan diadakan untuk menangani konflik antara buaya dengan manusia. Kita tahu Sungai Limbang ini juga mata pencarian penduduk kita, tangkap udang, tangkap ikan dan sebagainya,” ujarnya.
Hasbi pada masa yang sama turut menasihati penduduk Limbang, terutama yang mendiami pesisir sungai agar lebih berhati-hati dan meningkatkan keselamatan mereka ketika berada di sungai.
Jelasnya, serangan buaya terhadap manusia di Sarawak bukan lagi insiden baru bagi penduduk tempatan di Limbang dengan empat insiden amukan buaya di daerah ini.
Pada Khamis minggu lepas, seorang lelaki warga emas yang mencari rotan dan memasang bubu di Sungai Limbang berhampiran kampungnya di Kampung Ulak dikhuatiri dibaham buaya di sungai berkenaan.
Usaha pencarian mangsa yang dikenali sebagai Sahari Mail, 66, turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dengan bantuan penduduk kampung.
Pasukan SAR turut melakukan pencarian di kawasan tebing sungai dan bukit-bukau berdekatan, namun sehingga ke hari ini mangsa gagal ditemui. – UTUSAN