CYBERJAYA: Pelakon, Nabil Aqil, 25, mengakui terkejut dengan berita pembatalan majlis pernikahan saudaranya, Syafiq Kyle, 31, dengan pelakon Mimi Lana, 26, yang sepatutnya dijadualkan berlangsung 18 Ogos depan.
Kata Nabil atau nama sebenarnya Mohammad Nabil Aqil Muhammad Salehuddin, sehingga kini, keluarga Syafiq mengunci mulut dan belum memberi penjelasan mengenai pembatalan tersebut.
“Saya yakin (mengunci mulut) itu kehendak Syafiq, jadi saya hormati kemahuannya.
“Sebagai keluarga, kami terkejut dengan pembatalan tersebut. Walhal tarikh pernikahannya cuma berbaki beberapa hari sahaja lagi.
“Apa pun, keluarga kami faham, jadi tidak bertanya apa-apa kepada keluarganya. Kami sudi mendengar sekiranya mereka sedia kongsikan keadaan sebenar kelak,” katanya yang ditemui ketika sesi penggambaran drama Hawt Fellas di Cyberjaya, dekat sini.
Dalam masa sama, Nabil menyifatkan Mimi sebagai seorang yang menyenangkan dan ramah.
“Dia hampir menjadi makcik saya tetapi kami tidaklah rapat dan jarang berjumpa kerana kesibukan masing-masing.
“Dia saya sifatkan seorang yang cool dan chill,” kongsinya.