PUTRAJAYA: Kementerian Luar menyifatkan dakwaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian berhubung isu Triti Laut Sulawesi sebagai bersifat fitnah.
Malahan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin meminta wakil rakyat di Sabah itu agar segera memperbetulkan balik kenyataan dibuatnya itu kerana jelas mengelirukan.
“Tolong hentikan, jangan kongsi kenyataan keliru bahkan sudah sampai kepada tahap fitnah menimbulkan gusar dan kebingungan masyarakat,” jelasnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 8 Ogos lalu, ADUN Parti Warisan Sabah itu mendakwa Kerajaan Persekutuan menyerahkan kawasan sempadan maritim dipertikaikan tersebut kepada pihak Indonesia ketika dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang membahaskan rang undang-undang Biodiversiti Sabah (Pindaan) 2023 minggu lalu.
Malaysia dan Indonesia memeterai Triti Laut Sulawesi dengan Triti Selat Melaka ketika sesi lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Seri Perdana di sini pada 8 Jun lepas.
Walau bagaimanapun, ada segelintir pihak cuba mempolemikkan isu itu kononnya Malaysia menggadaikan kawasan Blok ND6 dan ND7 yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat.
Mengulas lanjut, Mohamad mengulangi pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah ditegaskannya ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 13 Jun lalu.
“Saya dari Sabah dan takkan rela menyerahkan hak negeri ini digadai, bahkan selagi saya berada di Wisma Putra, saya akan terus mempertahankan kepentingan Sabah,” katanya.
Kerajaan pusat ujarnya, juga sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam sebarang triti dicapai mengenai isu sempadan negara bahkan tidak pernah sekali-kali berkompromi, malah pihak kerajaan Sabah turut dilibatkan dalam perbincangan berlandaskan Konvensyen Undang-Undang Laut Bangsa-Bangsa Bersatu 1982.
Ditanya apakah Wisma Putra akan mengambil tindakan undang-undang ke atas ADUN itu, Mohamad berkata, perkara tersebut terpulang kepada Speaker Dewan Undangan Negeri sama ada boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti penggantungan kehadiran jika ada mana-mana wakil rakyat berbohong atau menerbitkan kenyataan palsu.
Pada masa sama, beliau meminta masyarakat merujuk maklumat yang disediakan pihak Wisma Putra berhubung isu triti sempadan laut itu demi mengelakkan berlaku kekeliruan yang mana ia tidak meliputi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) terletak lebih 200 batu nautika dari garis pantai dan mungkin dapat selesai Jun tahun depan. – UTUSAN