SEPANG: Penantian sekian lama penduduk di Putra Perdana, Puchong disini, untuk mendapatkan surat cara pindah milik (MOT) sejak 2008 berakhir apabila sebahagiannya mula memperoleh dokumen itu, hari ini.
Majlis penyerahan MOT itu disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Putra Perdana, di sini.
Difahamkan, MOT itu membabitkan 601 hak milik individu yang didaftarkan bagi Plot J daripada keseluruhan 9,000 hak milik.
Plot J merangkumi 449 hak milik individu, 152 hak milik syarikat, tiga lot Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan blok aparment.
Amirudin berkata, Plot J diselesaikan terlebih dahulu berdasarkan kompleksiti kerana mudah diselesaikan.
Menurutnya, plot-plot yang lain masih dalam tindakan penyelesaian secara berperingkat mengikut kompleksiti yang terdapat di atas tanah dan kepentingan berdaftar di dalam dokumen hak milik.
“Pemilik-pemilik berdaftar pada hari ini mendapat salinan dokumen hak milik sahaja terlebih dahulu dan hak milik asal diserahkan kepada pihak peguam pemaju untuk urusan-urusan penyelesaian lain,” katanya.
Katanya, pemilik-pemilik juga perlu menghubungi pejabat peguam pemaju untuk urusan seterusnya.
Amirudin berkata, baki plot hak milik lain dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat setiap bulan bermula bulan ini dan akan dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang akhir tahun atau awal tahun depan
“Penyerahan MOT ini bukan dibuat secara tergesa-gera kerana mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya ia sudah dirunding sejak sekian lama mengikut lunas undang-undang.
“Saya difahamkan ada pemilik yang sudah meninggal dunia kerana menunggu terlalu lama, malah ada pemilik tidak dapat membeli kediaman lain kerana terganggu dengan isu hak milik ini,” katanya. – UTUSAN