PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengadakan pertemuan dengan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat, semalam susulan kebimbangan terhadap pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi baru-baru ini.
Antara NGO yang terlibat adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM); Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia (FTAM); Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) dan Persatuan agama Buddha Malaysia (MBA).
Selain itu Malaysia Hindu Sangam (MHS); Majlis Gurdwara Malaysia (MGC); Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong); Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan Yayasan Tamil (TMF).
Seterusnya, Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN); Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam (ACCIN) dan Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS); Gabungan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia.
Pusat Pengajian Cina Malaysia; Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG dan Profesor Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi turut terlibat.
Menurut Pejabat Menteri Pendidikan, pertemuan tersebut antara lain membincangkan inisiatif penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi, pelaksanaannya dan perkara lain yang berkaitan dengan pendidikan negara.
Kata kenyataan itu, pertemuan berlangsung dalam suasana muhibah, mencerminkan keterbukaan, kesepakatan dan komitmen semua pihak dalam membina Malaysia Madani berdasarkan kepada formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
“Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam sahaja. Projek rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan dikembangkan ke sekolah-sekolah dan kelas daripada mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja.
“Pelaksanaan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi tidak akan melibatkan murid bukan Islam. Penghayatan Hadis 40 ini juga penting serta signifikan untuk menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat,” katanya.
Jelas pejabat menteri, Kementerian Pendidikan komited untuk melaksanakan inisiatif Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kerana ia akan memberi impak positif serta gambaran sebenar mengenai nilai-nilai kesejagatan Islam serta pengamalannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“Sesi pertemuan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menyampaikan maklumat tepat mengenai inisiatif-inisiatif Kementerian Pendidikan.
“Ruang dialog juga dibuka seluasnya selaras dengan salah satu teras utama Kementerian Pendidikan iaitu untuk memperkasa komunikasi antara kementerian dengan setiap pemegang taruh,” katanya. – UTUSAN