BANGI: Isu kos sara hidup merupakan antara masalah utama yang perlu ditangani kerajaan menerusi kerangka Ekonomi Madani bagi membolehkan rakyat di negara ini menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Menurut Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, isu kos sara hidup yang berlaku lebih tertumpu kepada golongan pertengahan sehingga B40.
Jelas pakar ekonomi itu, jika diukur, kos sara hidup di Malaysia adalah antara yang termurah dengan berada di kedudukan 107 berbanding negara-negara lain, namun rakyat dilihat masih dibelenggu rasa resah.
“Saya bagi contoh, kalau bayar RM600 mungkin dah boleh duduk hotel lima bintang di Malaysia, tetapi kalau di Amerika Syarikat hanya dapat motel di tepi lebuh raya tanpa fasiliti lain.
“Kalau dilihat kos sara hidup dari kaca mata global, Malaysia adalah yang termurah tapi kenapa rakyat resah? Masalah kita adalah pendapatan, kita perlu tangani isu tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar khas Ekonomi Madani: Mencapai Sasaran di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai sistem gaji progresif, Noor Azlan berpendapat ia merupakan usaha dan niat yang bagus, namun tidak begitu bertepatan dengan masalah yang dihadapi ketika ini.
Ini kerana katanya, apabila berhadapan dengan masalah harga, perkara utama yang perlu diperhalusi adalah permintaan dan penawaran sebelum memperkenalkan sebarang mekanisme canggih yang lain.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu komited dalam menurunkan kebergantungan terhadap pekerja asing serta menangani masalah lambakan pekerja asing tanpa kemahiran sehingga mengasak keluar rakyat tempatan. – UTUSAN