JOHOR BAHRU – Dengan sekali lafaz, pelakon, Intan Najuwa, 26, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman, 39.
Pasangan tersebut dinikahkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Datuk Dr. Nooh Gadot dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Pantai Desaru, di sini.
Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 berserta hantaran bernilai RM222,000.
Kedua mempelai tampil berseri dalam persalinan bernilai RM40,000 rekaan pereka fesyen terkenal, Fizi Woo.
Majlis yang berlangsung sederhana itu dihadiri kira-kira 150 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat, selebriti dan media.
Tarikh pernikahan adalah signifikan buat Intan kerana jatuh pada hari lahir pelakon berkenaan.
Majlis resepsi yang bertemakan tradisional dijadualkan berlangsung di Rimbunan Event Space, Johor Bahru, malam esok.
Pelakon drama bersiri Jesnita itu menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua tetamu yang hadir pada hari bahagianya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berjalan lancar. Doakan yang terbaik buat kami dalam melayari rumah tangga.
“Walaupun sudah bergelar isteri, saya akan terus menyambung karier lakonan serta mengutamakan pengajian dan perniagaan yang diusahakan sekarang.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat atas sokongan yang diberikan seawal kerjaya saya sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan.