Impak perkembangan pelancongan beri limpahan ekonomi di Perlis - Utusan Malaysia

Impak perkembangan pelancongan beri limpahan ekonomi di Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyerahkan penghargaan pada majlis apresiasi penaja sisipan khas dalam akhbar tempatan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-80 di dataran Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis, semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perkembangan sektor pelancongan di negeri ini yang semakin rancak bakal memberi kesan limpahan ekonomi kepada banyak pihak sama ada secara langsung atau tidak.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerajaan negeri, telah bersetuju untuk mengadakan program Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

Titah baginda, ia merupakan satu program pelancongan khas yang diadakan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Perlis melalui slogan yang dipilih iaitu ‘Perlis Damai dan Menawan’ dan ‘Perlis – ‘The Undeniable Charm’.
 
“Program ini mempunyai objektif iaitu untuk menaikkan lagi imej Perlis agar lebih dikenali dengan kawasan pelancongan yang menarik sekali gus meningkatkan bilangan kehadiran pelancong ke negeri ini sama ada pelancong domestik atau antarabangsa selain memperkukuhkan jenama produk pelancongan.

“Perlis merangkumi kawasan dan acara pelancongan yang mengetengahkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan baharu di negara ini yang semakin terserlah.

“Ia juga meningkatkan pendapatan pemain industri pelancongan negeri seterusnya mengukuhkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi sektor pelancongan. Sehubungan itu, Kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk penajaan dan idea-idea baharu untuk bersama-sama menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024/2025,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis apresiasi penaja sisipan khas dalam akhbar tempatan sempema sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-80 di dataran Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Rektor UiTM Arau, Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dan barisan para penaja sisipan tersebut.

Seterusnya baginda bertitah, bagi menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024/2025, sokongan dan kerjasama semua pihak juga amat diperlukan.

“Pertama, daripada segi pelaburan dan idea-idea baharu dalam membangunkan industri perhotelan serta pengurusan pusat pelancongan bagi menampung jumlah permintaan yang semakin meningkat naik.

“Kedua, bantuan serta sokongan untuk melabur bagi bisnes-bisnes ‘startup’ berkonsepkan promosi negeri Perlis yang diusahakan oleh anak-anak muda tempatan.

“Dan ketiga, bantuan para penaja dalam bentuk sumber kewangan serta khidmat nasihat, promosi dan jaringan usahasama yang lebih meluas. Saya berharap dengan sokongan padu para penaja dapat merancakkan lagi pembangunan negeri ini sebagai pusat ekopelancongan, agro pelancongan, ‘food tourism dan sport tourism,” titah baginda.

Sementara itu, baginda menghargai setiap penajaan sisipan khas di dalam akhbar tempatan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-80 dan ia amat bermakna.

Titah baginda, ia adalah satu bentuk taat setia dan kasih yang tidak berbelah bahagi para penaja kepada Raja Perlis.

“Semoga dengan tajaan sisipan khas akhbar ini dapat meningkatkan lagi tekad serta kesungguhan baginda untuk terus memerintah dan membawa kemakmuran kepada negeri ini.
 
“Bersempena dengan sambutan ulang tahun Raja Perlis ke-81 pada tahun hadapan serta sambutan Jubli Perlis 25 tahun pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis pada 2025, saya amat berharap penajaan-penajaan seumpama ini dapat diteruskan lagi, bahkan ditambah dengan penajaan baharu daripada syarikat serta organisasi yang lain sama,” titah baginda.-UTUSAN
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya