PETALING JAYA: Ilham Centre meramalkan keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) adalah status quo dengan pentadbiran kerajaan di enam negeri kekal.
Badan kajian itu menjangkakan Selangor kekal kepada gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dengan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) melebarkan pengaruh di negeri terkaya di Malaysia itu.
Begitu juga Negeri Sembilan dan Pulau Pinang terus kekal milik PH-BN manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah bakal didominasi PN.
Mengulas lanjut, PH-BN mempertaruh prestasi cemerlang pentadbiran kerajaan negeri Selangor sekali gus memberikan keyakinan terbesar mengapa pengundi masih yakin dengan PHBN.
“Selain itu, undi asas yang dimiliki PH terutama dalam kalangan pengundi bukan Melayu, Cina dan India kelihatan menjadi deposit tetap kepada gabungan parti ini. Sokongan bukan Melayu seakan tidak berganjak.
“Kempen agresif PN menakutkan segmen ini dan data kami menunjukkan pengundi bukan Melayu akan keluar tinggi di Selangor. PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
“Sekiranya keadaan ini kekal, PN terpaksa melupakan undi Cina, India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada undi Melayu. Ini akan menyempitkan ruang PN menawan negeri ini. Mereka perlu memperoleh 70 peratus dan ke atas sokongan Melayu untuk melepasi jumlah undi untuk menang,” kata kajian badan itu yang dikeluarkan hari ini.
Kata Ilham Centre, PN berpeluang menambah kerusi di DUN bermajoriti Melayu namun tidak berupaya untuk mengambil alih kerajaan negeri meskipun kerusi di utara Selangor terdedah kepada penguasaan gabungan parti iti.
“Kerusi milik PH seperti Sungai Ramal, Morib dan Hulu Bernam. PKR bergoyang di Sementa dan Sungai Kandis. Hulu Kelang kerusi sengit dan sukar dibuat bacaan,” ujar badan kajian itu.
Bagi Negeri Sembilan pula, Ilham Centre berkata, negeri itu sukar dicabar apabila dua blok PH dan BN bergabung.
Katanya, di negeri itu, undi asas BN di kalangan pengundi Melayu terlalu besar manakala PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.
“Ditambah pula kekuatan Pas dan Bersatu di negeri ini tidak sekuat dan tersusun berbanding lima negeri lain. PN juga bermasalah untuk menampilkan poster boy untuk Menteri Besar dan ini sedikit sebanyak memberi kesan untuk menarik pengundi di atas pagar kepada gabungan parti itu.
“Rumusan untuk Negeri Sembilan hanya tiga DUN berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas. Ini sahaja ruang untuk PN menafikan penguasaan total milik PH-BN,” katanya.
Mengenai Pulau Pinang pula, negeri itu lebih tertumpu di DUN majoriti Melayu dengan PN diramal kekal di Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua manakala Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir, Penanti termasuk dalam kategori sengit, selan itu kerusi lain PH dan BN berada ke hadapan.
Begitu juga Kelantan dan Terengganu berkongsi ciri hampir sama apabila Pas ternyata selesa dan amat berhati-hati dalam berkempen.
“Pos parti tidak semeriah dahulu dengan aktiviti membuat jamuan kerana khuatir disabitkan dengan kesalahan pilihan raya. Perang bendera, Terengganu mengatasi Kelantan. Namun kempen fizikal sangat suram dan tidak mendapat sambutan. Audien yang hadir hanyalah penggerak parti atau orang lama yang meramaikan majlis,” katanya.
Mengikut data Ilham Centre, untuk soalan kerajaan negeri wajar dikekalkan, Kelantan paling rendah dengan hanya 57 peratus bersetuju iaitu paling rendah antara negeri di bawah pentadbiran Pas. manakala Terengganu sebanyak 61 peratus dan Kedah sebanyak 67 peratus.
“Ini memberi makna, terdapat ruang ketidakpuasan hati untuk pengundi menukar kerajaan, tetapi keadaan terjadi sebaliknya selepas penamaan calon,” katanya.
Pada masa sama, Kedah berada di kelas tersendiri dengan faktor Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Sanusi Nor sudah memadai menyekat BN dan PH merampas negeri itu di samping kesilapan strategi kempen menyebabkan kerusi milik PH dan BN dahulu mungkin akan hilang daripada genggaman.
“Mampu menyapu hampir bersih sekiranya pengundi Cina rendah keluar mengundi. Kerusi Derga, Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang ada peluang buat PH. Undi UMNO perlu keluar maksimum bagi DUN Pedu dan Sungai Tiang untuk menang,” katanya. – UTUSAN