Hospital Seri Iskandar beroperasi awal 2025 - Utusan Malaysia

Hospital Seri Iskandar beroperasi awal 2025

A. SIVANESAN (tengah) melawat tapak pembinaan Hospital Seri Iskandar di Perak Tengah hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Pembinaan Hospital Seri Iskandar di sini dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun depan dan dijangka mula beroperasi pada awal tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata,  kerja-kerja pembinaan hospital tersebut yang bermula pada Januari 2021, kini mencapai 34.6 peratus siap, berbanding jadual sebenar 30 peratus.

Menurutnya, hospital tersebut dibina di kawasan 14.4 ekar yang akan dilengkapi unit pesakit luar, unit kecemasan, klinik rawatan pakar, pusat rehabilitasi, hemodialisis, rawatan ibu dan anak, wad pesakit bagi dewasa dan kanak-kanak, makmal serta komponen radiologi.

Katanya, projek pembinaan Hospital Seri Iskandar yang diluluskan dengan kos RM147.8 juta, boleh memuatkan 76 katil pesakit.

“Kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan dan kini melangkaui jadual di mana status pencapaian perkembangan kerjanya mencapai 34.6 peratus berbanding jadual sebenar iaitu 30 peratus.

“Jika dilihat kepada pencapaian perkembangan kerja setakat ini, jangkaan hospital ini siap dua bulan lebih awal daripada tarikh sebenar iaitu pada  Ogos 2024,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melawat projek pembinaan hospital itu di sini hari ini.

Sivanesan berkata, setelah pembinaannya siap, perkhidmatan kesihatan di Hospital Changkat Melintang di Bota,  akan berpindah sepenuhnya ke Hospital Seri Iskandar.

“Status Hospital Changkat Melintang akan bertukar kepada klinik apabila pembinaan Hospital Seri Iskandar siap sepenuhnya,” katanya.

Katanya, Hospital Seri Iskandar menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Perak Tengah yang berjumlah 113,000 orang merangkumi 12 mukim.

Ujarnya, sebanyak 532 lot parkir akan disediakan di hospital tersebut dengan sembilan lot parkir untuk Orang Kurang Upaya (OKU). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN