Hospital Dungun siap akhir tahun ini - Utusan Malaysia

Hospital Dungun siap akhir tahun ini

ZALIHA Mustafa (dua, kanan) meninjau fasiliti dan alatan pemeriksaan kesihatan selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hospital Dungun yang masih terbengkalai sejak dibina pada Februari 2016 dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ketika ini pembinaan hospital tersebut telah siap kira-kira 99 peratus dan dijangka dapat beroperasi secara rasmi pada tahun 2024.

“Kita dah tahu apa masalahnya, sedikit terbengkalai. Tetapi hanya tinggal satu peratus sahaja (disiapkan).

“Kita jangkakan akhir tahun ini siap dan tahun depan boleh beroperasi,” katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir di sini, hari ini.

Projek pembinaan Hospital Dungun itu diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dengan kos sebanyak RM125 juta itu.

Ia dibina di atas tapak seluas 6.13 hektar dan bakal menjadi hospital pakar yang ketiga di Terengganu selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Kemaman.

Sebanyak 110 katil disediakan dengan 10 kepakaran antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatri, pergigian dan patologi.

Pembinaannya bermula pada tahun 2016 dan sepatutnya siap pada Mac 2022, namun terdapat kelewatan disebabkan beberapa faktor antaranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 melanda dan perubahan reka bentuk yang perlu mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ditanya mengenai keperluan untuk membina hospital baharu di Terengganu pula, Zaliha berkata, KKM akan menilai setiap permohonan atau laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terlebih dahulu.

“Dalam setahun dua ini, tumpuan kita adalah membaik pulih klinik-klinik daif di seluruh negara.

“Namun, ada juga hasil lawatan saya turun padang mendapati ada keperluan untuk mewujudkan kemudahan tertentu seperti pusat kanser dan kardiovaskular. Kalau perlu dan ada peruntukan, kita akan masukkan ke dalam perancangan RMK akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya