JELI: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan projek Hospital Bachok yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu dijangka beroperasi selewat-lewatnya Januari tahun hadapan.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pembinaan projek itu setakat ini sudah mencapai 97 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 27 Oktober ini.
“Persiapan untuk operasi di hospital berkenaan sudah berada pada peringkat akhir. Kita akan menempatkan 500 kakitangan bagi pengambilan pertama selepas ia beroperasi nanti.
“Dari segi kepakaran pula, kita akan lihat keperluan operasinya yang bakal mengurangkan kesesakan hospital di kawasan bandar dan menggunakan kemahiran pakar-pakar dan kakitangan perubatan yang dibawa khas dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), “katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Jeli di Padang Awam Blok Kolam, Ayer Lanas, di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, sebanyak RM 15.3 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan dari segi keperluan aset.
Katanya, dengan adanya hospital itu nanti ia akan memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan Bachok dan sekitarnya untuk mendapat perkhidmatan kesihatan.
“Pengoperasian hospital ini juga bakal mengurangkan kesesakan hospital di kawasan bandar yang juga padat dengan penduduk,” ujarnya.
Pembinaan Hospital Bachok merangkumi wad 76 katil, pejabat pentadbiran, kafeteria, perkhidmatan pesakit luar dan kemudahan lain seperti kuarters kakitangan, kawasan letak kereta, surau, bangunan sokongan seperti rumah sampah dan loji rawatan air.
Projek ini yang sepatutnya siap pada Disember 2020 lalu, mengalami kelewatan ekoran masalah syarikat pemaju terdahulu yang mengalami isu kewangan dan tidak cukup pekerja akibat pandemik Covid-19. –UTUSAN