LIMA SOALAN?
MUKADIMAH
GOMBAK Setia merupakan antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gombak yang menjadi tumpuan ketika ini. Ini kerana kerusi-kerusi DUN di bawah Parlimen itu melibatkan pertembungan nama-nama besar dalam politik tanah air.
HILMAN IDHAM antara yang diberi tanggungjawab oleh Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahan kerusi DUN Gombak Setia.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ARIF AIMAN ASROL, Hilman berkongsi mengenai perasaan, matlamat dan hala tujunya dalam memastikan kerusi disandang akan terus kekal dipegangnya.
Apa komen Yang Berhormat (YB) apabila setiap DUN di bawah Parlimen Gombak disertai nama-nama besar politik?
Sudah tentu ini merupakan satu cabaran besar bagi saya untuk menempatkan diri dan kedudukan sebaris dengan mereka. Namun, saya juga melihat situasi ini sebagai satu peluang menggilap bakat dan potensi sebagai seorang ahli politik muda. Justeru saya bertekad untuk menjadikan DUN Gombak Setia ini sebagai ‘my political base’ dengan menjuarai isu-isu rakyat.
Apakah YB tercabar dengan pesaing iaitu Datuk Megat Zulkarnain Omardin daripada Barisan Nasional (BN)?
Saya mengakui beliau (Megat Zulkarnain) mempunyai kelebihan. Namun saya masih optimis untuk dipilih sekali lagi sebagai wakil rakyat. Ini kerana, landskap politik hari ini sama sekali berbeza dengan lanskap politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Apa strategi YB bagi memastikan DUN Gombak Setia akan terus dipegang oleh YB?
Saya tampil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini dengan slogan ‘Gombak Setia Rumah Kita’. Strategi saya adalah menyeru sekalian rakyat Gombak untuk membingkai kesatuan dan perpaduan yang utuh dan mantap bagi membuat satu pilihan yang objektif berdasar matlamat menyelesaikan isu-isu yang kita hadapi bersama.
Bagaimana dengan angin pengundi di DUN Gombak Setia? Adakah kuat ke arah PN?
Saya optimis, pengundi DUN Gombak Setia bahkan Negeri Selangor secara keseluruhannya akan memberi dukungan kepada PN. Pengalaman rakyat dalam PRU15 yang lalu menjadikan mereka lebih matang untuk membuat keputusan. Rakyat kini sedar. Peluang telah mereka berikan. Pilihan telah mereka buat. Tetapi hasilnya belum ada.
Memandangkan setiap DUN di bawah Parlimen Gombak adalah kerusi panas, adakah jika PN berjaya memenangi PRN Selangor, Menteri Besarnya akan di antara DUN di bawah Parlimen Gombak?
Saya melihat PN mempunyai ramai tokoh berwibawa untuk ditampilkan sebagai Menteri Besar Selangor. Bahkan, kita mempunyai pakej kepimpinan berpengalaman dan mempunyai track record yang cemerlang. – UTUSAN