Helang Merah sambar 3 mata berharga saat akhir di Bandaraya - Utusan Malaysia

Helang Merah sambar 3 mata berharga saat akhir di Bandaraya

KEDAH FC terpaksa menunggu sehingga minit akhir sebelum menang 2-1 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dalam saingan Liga Super malam ini. Pic IHSAN FB PENANG FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kedah terpaksa menunggu sehingga waktu kecederaan sebelum berjaya menjinakkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung penuh hangat di Stadium Bandaraya, di sini malam ini.

Bermula seimbang, pelawat bagaimanapun terlebih dahulu di depan dengan jaringan seawal minit ketujuh oleh pemain tengah mereka, Mohd. Fadzrul Danel.

Tersentak dengan gol tersebut, Penang FC kemudian melancarkan serangan bertali-arus ke kubu Kedah untuk mencari gol penyamaan.

Peluang terbaik Harimau Kumbang untuk menyamakan kedudukan muncul pada minit ke-30, namun rembatan kencang R. Kogileswaran berjaya ditepis penjaga gol, Mohd. Ifwat Akmal.

Seminit berselang, gol yang dicari Penang FC akhirnya menjelma apabila ayam tambatan mereka, Sonny Saad berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang Kedah susulan kekalutan yang berlaku di hadapan pintu gol skuad Helang Merah itu.

Gol tersebut menyemarakkan semangat anak-anak buah Chong Yee Fatt untuk terus memburu jaringan dan mereka nyaris mendahului sebelum aksi separuh masa pertama tamat, namun rembatan Kogileswaran atau Kogi sekali lagi dinafikan oleh ketangkasan Mohd. Ifwat.

Bersambung babak seterusnya, kedua-dua pasukan mula menggandakan asakan dalam usaha untuk menambah jaringan.

Penang FC berpeluang untuk berada di depan pada minit ke-66, namun tandukan kapten mereka, Rafael Vitor sekadar menggegar palang gol pelawat.

Seminit kemudian, pemain tinggi lampai itu bagaimanapun berjaya menebus kekecewaan apabila meledak gol kedua untuk tuan rumah.

Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil, S. Logeswaran gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.

Pergaduhan hampir tercetus akibat pembatalan gol itu termasuk melibatkan penyokong kedua-dua pasukan dan perlawanan juga semakin agresif sehingga menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua.

Ketika perlawanan dilihat berkesudahan dengan keputusan 1-1, pemain import Kedah, Moses Atede Jona Atuluku muncul wira pelawat apabila rembatan kencangnya pada minit-minit kecederaan menerjah jaring sekali gus memastikan skuad Hijau Kuning pulang dengan tiga mata berharga.

Kemenangan itu juga menyaksikan anak-anak buah Mohd. Nafuzi Zain berjaya mempertahankan rekod kemenangan buat kali kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super sejak 9 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya