SEPANG: Arwah Heikal Aras Abdul Azim, 45, tidak pernah terlepas untuk memohon doa dari ibunya setiap kali ingin ‘terbang’.
Ibu arwah, Noorhizan Mohd Salleh, 68, ketika ditemui berkata, setiap kali sebelum penerbangan, arwah akan datang berjumpa dengannya untuk meminta restu.
“Heikal tidak pernah lupa meminta didoakan setiap kali dia ada tugasan (penerbangan),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Desa Pinggiran Putra, di sini hari ini.
Noorhizan memberitahu, arwah baru sahaja pulang kira-kira dua minggu lalu selepas menjalani kursus penerbangan selama tiga bulan di Amerika Syarikat.
Katanya, arwah seorang anak yang baik dan sentiasa positif dalam segala hal dan pemergiannya sangat dirasai keluarga.
Menurutnya, dia dan suami, Abdul Azim Aras, 76, masih bersedih dengan pemergian arwah yang disifatkan ‘terlalu awal’.
“Arwah ini kalau ada masalah seberat mana pun, dia akan hadapi dengan tenang. Dia kata itu hanya masalah dunia dan sebaliknya meminta saya menjaga kesihatan diri.
“Antara lima anak, arwah paling penyabar dan sangat bertanggungjawab selain seorang yang sopan-santun serta peramah,” katanya.
Katanya, jenazah Heikal dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya esok selepas selesai urusan padanan ujian
sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Jelasnya lagi, jika urusan selesai cepat, maka proses pengebumian akan dilakukan hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.40 petang semalam, sepuluh individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun terkorban setelah pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang itu terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam.
Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian. – UTUSAN