KUALA LANGAT: Bantuan bagi mangsa bencana alam tidak wajar dipertikaikan meskipun ketika kempen pilihan raya kerana dianggap menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan mereka dibantu dengan segera.
Menurut calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Morib, Hasnul Baharuddin, bantuan untuk mangsa ribut Morib yang berlaku 14 Jun lalu melibatkan 152 pemilik rumah dari tujuh buah kampung di kawasan tersebut.
“Setiap mangsa berada dalam keadaan kesusahan dan kita menyampaikan bantuan bukan secara membuta tuli. Cuma penyampaiannya dibuat kelmarin disebabkan peruntukan telah ada.
“Setiap mangsa yang terlibat bukan seorang dua. Kita memerlukan masa untuk mengumpul data dan pengesahan pemilikan rumah sebelum bantuan disalurkan oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI),” katanya, ketika ditemui semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Pas kawasan Kuala Langat membuat laporan polis terhadap PH yang dikatakan menganjurkan program berunsur sogokan untuk memancing pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Morib.
Ketua penerangannya, Zulkifli Mohamad Harun berkata, antara program tersebut adalah jamuan makan yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Putra Kampung Sawah serta bantuan mangsa ribut.
Malah, Hasnul menjelaskan, bukan perkara pelik jika bencana alam berlaku semasa musim pilihan raya malahan sebelum ini banjir besar berlaku semasa pilihan raya kecil.
“Adakah bantuan hanya akan disampaikan kerajaan selepas pilihan raya semata-mata kerana hendak mengikut peraturan. Di mana nilai kemanusiaan dalam diri kita jika kerajaan terus menunda bantuan lebih lama lagi.
“Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari hanya menyaksikan penyerahan sumbangan bukannya berkempen menyuruh rakyat mengundi saya, “tegasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai program jamuan makan semasa program bersama Anwar , beliau turut menjelaskan ia bukan program jamuan makan yang khusus tetapi memenuhi adat budaya orang Melayu yang akan menghidangkan makanan kepada pembesar dan tetamu.
Katanya lagi, Menteri Besar Selangor dan Perdana Menteri adalah ketua negeri dan negara sewajarnya kedua tokoh yang hadir ke Kuala Langat dialu-alukan bukan diragui.
“Perdana Menteri datang membicarakan soal negara dan kepentingan rakyat, tiada pun datang khusus untuk menyogok rakyat dengan makanan dan minuman. Saya berharap pembangkang berasa empati dan simpati dengan nasib rakyat bukannya menepis tangan orang yang membantu,” tempelaknya. – UTUSAN