KUALA LANGAT: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Morib daripada Pakatan Harapan (PH), Hasnul Baharuddin membawa ibunya, Zaleha Ishak, 75, untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Lanang pukul 8.30 pagi ini.
Terdahulu bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor itu mengundi di SK Kanchong Darat pukul 9.30 pagi tadi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.
Hasnul yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu selama dua penggal di Morib ditentang oleh calon daripada Parti Perikatan Nasional (PN), Rosnizan Ahmad.
Terdahulu, beliau memenangi kerusi Morib pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan meraih 11,000 undi ketika menentang Rozana Kamarulzaman daripada BN yang mendapat 8,883 undi manakala calon parti Pas, Mohammad Sallehuddin Hafiz memperolehi 7,329 undi.
Pertembungan tiga penjuru ini merekodkan majoriti diperolehi Hasnul sebanyak 2,117.
Hasnul dahulunya merupakan ahli Pas ketika bertanding pada PRU Ke-13 namun pada PRU14, beliau memilih menyertai parti Amanah – UTUSAN