USIA 74 tahun tidak menghalang penulis skrip dan lirik serta penerbit drama dan filem tersohor, Datuk Habsah Hassan terus menabur bakti kepada industri seni tanah air.
Bahkan, ikon kelahiran Johor yang dibesarkan di Singapura ini masih gagah menulis dan berkarya demi anak bangsa meskipun selepas lebih lima dekad bergelar penggiat seni.
Bertahannya Habsah dalam dunia penulisan disebabkan minat dan kesungguhan. Keinginan itu tertanam dalam dirinya sejak di bangku sekolah.
Habsah, yang ditemui baru-baru ini menceritakan perjalanan dalam melalui fasa-fasa tertentu sebelum hari ini bergelar figura ikonik terhormat.
“Ayah saya seorang polis marin yang juga pengurus pasukan pancaragam badan beruniform tersebut. Kami rapat dan saya sering menemaninya ke sesi latihan atau acara yang melibatkan kumpulan berkenaan.
“Ibu saya pula seorang suri rumah yang selalu membawa saya menonton filem kesukaannya di panggung wayang.
“Sebenarnya, hobi ibu bapa saya ini secara tidak langsung mendedahkan saya kepada dunia seni dan hiburan,” ceritanya.
Pada usia muda, Habsah mula mempelajari penulisan skrip menerusi pembacaan skrip-skrip terbuang yang dikumpulnya.
“Selepas tamat pengajian tingkatan lima, saya ditawarkan menjadi penulis skrip sambilan di Radio TV Singapura oleh penulis tersohor, Zaharah Zaaba.
“Pada awal era 70-an, saya terjun pula ke dalam bidang penulisan skrip drama televisyen,” kongsinya.
BAYU TEMANKU
“DIN Osman merupakan orang pertama yang meminta saya menulis lirik.”
Itu diceritakan Habsah saat berkongsi tentang pembabitan awalnya dalam penulisan lirik lagu yang bermula sekitar tahun 1974.
“Saya sebelumnya tidak pernah menulis lirik. Sebab itu, saya keberatan ketika Din memujuk saya untuk menulis lirik sebuah lagu yang dinyanyikan Salamiah Hassan. Tapi, beliau berjaya meyakinkan saya.
“Din waktu itu memperdengarkan melodi lagu tersebut yang disadur daripada lagu My Friend The Wind, dinyanyikan penyanyi antarabangsa, Demis Roussos.
“Saya, yang ketika itu menyimpan semangat patriotisme yang menebal dan anti lagu saduran hanya sempat menghasilkan tajuk yang saya tulis sebagai Bayu Temanku.
“Saya maklumkan pada Din saya tidak dapat meneruskannya kerana bertentangan dengan kerelaan hati saya,” katanya yang sepanjang penglibatan telah menghasilkan lirik untuk lebih 1,000 lagu.
ALI SETAN
Penglibatan sebagai penerbit eksekutif filem malar segar itu menjadi kenangan manis yang tersimpan kemas dalam memori Habsah Hassan.
Bercerita tentangnya, Habsah memaklumkan filem itu diibaratkan sebuah institusi yang mengajarkan selok-belok penghasilan filem.
“Saya terlibat 80 peratus dalam pembikinannya, hanya menarik diri disebabkan hal tertentu ketika proses penghasilannya memasuki peringkat dubbing.
“Kami buat filem pada zaman itu semata-mata atas dasar minat, bekerja ibarat sebuah keluarga dengan peruntukan yang boleh disifatkan sekadar ‘cukup-cukup makan’.
“Filem Ali Setan istimewa di hati saya kerana itu kali pertama saya diberi kepercayaan untuk mengendalikan sebuah penerbitan ( filem). Menerusinya saya belajar buat belanjawan, jaga artis, kendalikan props, susun jadual penggambaran dan sebagainya,” kongsinya.
Kata Habsah lagi, Ali Setan dihasilkan dalam keadaan yang cukup mencabar. Meskipun begitu, pasukan produksi termasuk pengarah dan pelakon tetap memberi komitmen sepanjang penghasilannya.
“Banyak cabaran yang kami lalui, antaranya berdepan masalah kehabisan filem selain penyediaan makan minum untuk seluruh produksi yang sederhana dan tidak bermewah-mewah. Baik kru atau pelakon, tiada seorang pun yang mengeluh.
“Pasukan produksi pula kecil, pergi melakukan penggambaran di Universiti Sains Malaysia (USM) menaiki dua van yang membawa kru, pelakon, peralatan dan sebagainya.
“Bila sampai USM, banyak benda yang belum sedia. Waktu itu juga saya terpaksa mengambil inisiatif untuk menyediakan keperluan penggambaran,” katanya.
SUDIRMAN HAJI ARSHAD
IBARAT adik dan kakak. Itu tepat menggambarkan keakraban yang terjalin antara Habsah dan bintang legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Hampir kesemua album Allahyarham memuatkan lagu tulisan Habsah yang mengakui cukup mengenali gura istimewa itu. Habsah berkongsi cerita tentang Sudirman yang padanya ibarat keluarga sendiri.
“Din Osman, selaku penerbit EP pertama arwah, meminta saya menulis lirik dua lagu, Suratku Yang Ini dan Teriring Doa yang dimuatkan dalam album tersebut. Masa itu saya tak kenal arwah, cuma mengenalinya sebagai johan Bintang RTM 1976. Alhamdulillah lagu-lagu itu menjadi.
“Kemudian, saya diminta meng hasilkan lirik untuk lagu beliau ketika Sudirman membuat rakaman di Singapura. Saya yang ikuti ceritanya menerusi bacaan akhbar dan majalah, hasilkan lagu Terasing. Arwah mengakui lagu itu bertepatan dengan kisah hidupnya. Sejak itu, kami mula akrab.
“Semenjak itu juga, beliau sering meminta saya menulis lirik untuk setiap albumnya. Pada saya, arwah umpama adik yang jujur berkongsi tentang kedudukan dan perasaan,” kongsi Habsah.
Sudirman di mata Habsah seorang perfectionist dan komited serta tidak kedekut untuk berhabis wang demi kerjayanya sebagai penghibur.
Beliau juga seorang yang tidak mempunyai ramai kawan namun murah hati dan rajin menghulur bantuan kepada yang memerlukan.
“Hubungan kami bertukar renggang selepas Allahyarham diurusan pengurusan baharu. Dia dikawal agar dipandang eksklusif, tidak bebas seperti ketika kerjayanya diuruskan mendiang Mike Bernie Chin.
“Keadaan itu buat saya jauh hati tapi saya tidak pernah luahkan kekecewaan dan rasa terkilan itu kepadanya.
“Sebelum Allahyarham meninggal dunia, kira-kira selepas dia pulang dari Albert Hall di London, beliau bertemu saya, membincangkan tentang perancangannya untuk bekerjasama menghasilkan sebuah filem. Namun hasrat itu tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia,” kongsinya.
SALAM TERAKHIR
ANTARA lagu Sudirman yang paling memberi impak ke dalam jiwa pendengar adalah Salam Terakhir yang liriknya ditulis Habsah.
Berkongsi tentang itu, Habsah menceritakan kisah disebalik lagu tersebut yang jarang dikongsinya sebelum ini.
“Lirik lagu itu saya buat berdasarkan perbualan saya dengan Sudirman pada tahun 1986 ketika kami berborak-borak di Equatorial Hotel Singapura selepas beliau selesai membuat persembahan sempena Asian Broadcasting Song Festival.
“Antara yang diluahkan Allahyarham adalah tentang kehidupan, kerjaya dan perasaan terhadap seseorang yang gagal dipadamnya. Saya juga masih ingat Allahyarham ada menyebut mungkin usianya tidak lama.
“Intipati perbualan kami saya jadikan sebagai lagu dan terhasillah Salam Terakhir. Ramai yang salah faham tentang lagu itu kerana ia hanya popular sewaktu Allahyarham meninggal dunia. Walhal ketika lagu itu dikeluarkan, ia tidak menjadi dan jarang dimainkan di radio,” jelasnya