Hari Kebangsaan 2023: Aksi ekstrem terima sorokan kuat penonton

Hari Kebangsaan 2023: Aksi ekstrem terima sorakan kuat penonton

PERSEMBAHAN aset udara memukau pengunjung pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Riak ceria jelas terpancar pada wajah orang ramai yang teruja menyaksikan pelbagai persembahan terutamanya aksi ekstrem yang disajikan sepanjang sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini.

Pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat iaitu Red Army Warrior membuka acara dengan melakukan aksi lompatan bermotosikal merentasi sebanyak 66 buah motosikal model Royal Enfield.

Aksi mengujakan adrenalin itu dijayakan oleh Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin menggunakan motosikal jenis Kawasaki Scrambler 250cc sekali gus menerima tepukan gemuruh daripada para penonton.

Selain itu, antara persembahan ekstrem lain yang turut mencuri perhatian penonton adalah aksi terjun tepat dari ketinggian 4,000 meter oleh enam anggota pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua penerjun itu kemudiannya mendarat di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta pemimpin utama yang lain.

Segmen perarakan kemudiannya diteruskan dengan lintasan kontinjen membabitkan pelbagai jabatan dan agensi, badan uniform, pasukan keselamatan serta pameran aset ketenteraan.

Seperti sambutan-sambutan terdahulu, perbarisan dan perarakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan PDRM menerima sorakan paling kuat daripada para penonton.

Teriakan ‘abang bomba’ turut kedengaran apabila perarakan unit beruniform itu melintasi mereka yang memenuhi sepanjang Dataran Putrajaya.

Turut mencuri tumpuan penonton adalah anjing-anjing pengesan dari Unit K9 PDRM dan JBPM yang tampil memakai kasut dan akur mengikut arahan sepanjang perbarisan.

Bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, Hari Kebangsaan 2023 kali ini dibanjiri oleh puluhan ribu pengunjung dari seluruh pelosok negeri untuk memeriahkan sambutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya