Haiwan ternakan dibaham harimau kumbang - Utusan Malaysia

Haiwan ternakan dibaham harimau kumbang

KAKITANGAN Jabatan Perhilitan Terengganu memasang perangkap bagi menangkap harimau kumbang yang dipercayai membaham ternakan lembu di Kampung Dadong, Kemaman. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Tiga penternak lembu di Kampung Dadong berdepan kerugian selepas tujuh ekor lembu milik mereka ditemukan mati dipercayai dibaham harimau kumbang sejak bulan lalu.

Dakwa mereka, kejadian hanya disedari selepas bangkai ternakan mereka yang dibela di ladang sawit ditinggalkan de­ngan kesan gigitan pada beberapa bahagian badan termasuk perut, kepala dan kaki.

Salah seorang penternak, Che Wan Kamal Che Wan Azhar berkata, dalam kejadian terbaru, seekor lembunya ditemukan mati dengan kesan gigitan pada bahagian perut.

“Pada awalnya, saya tidak fikir lembu ini diserang harimau kumbang, namun, terdapat beberapa kesan tapak kaki harimau di sekitar kandang saya.

“Saya terus membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebab bimbang kalau-kalau sera­ngan berulang,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini semalam.

Seorang lagi penternak, Othman Kamaruddin, 50, berkata, serangan haiwan liar tersebut menyebabkan penternak dan pekerja ladang kini perlu lebih berhati-hati ketika keluar be­kerja di ladang.

“Kalau sebelum ini kami pulang dari ladang lewat petang atau selepas Maghrib, sekarang kena berjaga-jaga dan ambil langkah pulang awal sebab tak tahu apa akan berlaku di kemudian hari.

“Kita memang harap harimau kumbang ini dapat ditangkap sebab bimbang keselamatan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya memasang perangkap di kawasan ladang sawit itu bagi menangkap harimau kumbang tersebut.

“Kita minta penternak supaya segera menghubungi kakita­ngan Perhilitan sekiranya terdapat kesan harimau yang baharu di lokasi berbeza dan penternak dimohon supaya tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya