Hairul Azreen tinggalkan lakonan, Malbatt filem terakhir - Utusan Malaysia

Hairul Azreen tinggalkan lakonan, Malbatt filem terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Hairul Azreen mengumumkan telah mengundur diri daripada dunia lakonan kerana puas menjalani kehidupan sebagai anak seni.

Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, 35, memaklumkan filem Malbatt: Misi Bakara merupakan filem lakonannya yang terakhir.

“Saya mengumumkan bahawa saya berhenti berlakon sebab sudah buat semua benda daripada pelakon lagak ngeri, filem. Saya juga berdoa untuk menjadi hero dan Allah makbulkan permintaan saya menerusi filem aksi.

“Filem lakonan saya, PASKAL membuatkan kemasukan menjadi tentera meningkat 40 peratus. Saya sudah bekerja belakang tabir, jadi pelakon tambahan, lagak ngeri, pelabur filem, pengarah dan penerbit.

“Jadi biarlah perjuangan saya diakhiri dengan satu filem yang membanggakan iaitu Malbatt: Misi Baskara,” katanya dalam satu temu ramah bersama radio Era pagi tadi.

Pengarah Ada Hantu itu mendedahkan, keputusan tersebut sudah lama difikirkannya. Hairul ingin memberi fokus kepada perniagaan di samping melihat keluarga dan anak-anaknya membesar dengan baik.

“Ada orang yang tak sempat tengok mak dan ayah mereka sebab sibuk bekerja. Ada tak sempat tengok anak membesar. Alhamdulillah mak ayah saya masih ada.

“Untuk buat filem, saya perlukan enam bulan. Buat badan siang malam sampai tak sedar anak saya sudah besar.

“Saya rasa cukuplah, saya dah dapat semua dan sudah puas. Isteri saya tahu mengenai perkara ini dan dia pun sudah lama tidak berlakon. Selepas ini saya akan fokus kepada perniagaan kami,” tambahnya.

Tegas Hairul lagi, dia sudah memberikan sepenuh komitmen sepanjang melakonkan filem aksi walaupun terpaksa berhadapan dengan kecederaan dengan harapan penonton akan lebih menghargai naskhah aksi tempatan.

Dengan buah tangan terakhirnya menerusi filem Malbatt: Misi Bakara, Hairul turut berharap filem tersebut mampu membuatkan penonton lebih mencintai dan menghargai pengorbanan tentera Malaysia.

Malbatt: Misi Bakara menceritakan sebuah kisah benar yang dihadapi Batalion Malaysia (Malbatt) apabila menjadi satu-satunya negara yang berani menawarkan diri dalam usaha menyelamatkan tentera Amerika Syarikat di Somalia apabila helikopter Black Hawk milik mereka ditembak jatuh pada tahun 1993. Filem ini djangka menemui penonton bermula 24 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN