SEGAMAT: Ajal maut jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Namun, segala kenangan dan memori sewaktu hayat menjadi pengubat rindu apabila salah seorang pasangan dijemput Ilahi terlebih dahulu.
Lebih istimewa bagi pasangan warga emas merdeka, Abdullah Ismail, 89, dia sebak apabila hadiah perkahwinan gelas wajah Tunku Abdul Rahman diterima daripada tetamu yang hadir hari perkahwinan mereka pada Ogos 1957 menjadi kenangan abadi buatnya dan arwah isteri, Zainap Abdul Jalil, 85.
“Pemilihan tarikh pernikahan kami pada hari pengisytiharan kemerdekaan 1957 menjadi kenangan paling manis dalam hidup saya.
“Kami ingin bernikah pada tarikh pengisytiharan kemerdekaan 31 Ogos 1957, tetapi atas desakan keluarga, kami terpaksa awalkan tarikh nikah pada 27 Ogos 1957.
“Apa yang paling tidak dapat dilupakan, kami menerima hadiah gelas edisi khas kemerdekaan negara yang dicetak wajah Tunku Abdul Rahman daripada tetamu yang datang. Gelas tersebut saya masih simpan dan ada beberapa biji gelas saya berikan kepada anak dan cucu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Segamat Baru semalam.
Abdullah yang merupakan pesara guru berkata, September ini genap setahun pemergian arwah isterinya.
Menurut cucunya, Ismail Badrulhisham, 37, pertama kali melihat gelas unik tersebut dia berasa teruja dan bangga.
“Abah (Abdullah) dan mak tok (Zainap) juga telah hadiahkan dua biji gelas kepada saya dan isteri sempena hari pernikahan kami pada 26 Ogos dua tahun lalu. Pada zaman serba canggih ini, amat jarang kita dapat berpeluang melihat dan memiliki barang merdeka dari 1957.
“Selama 66 tahun abah dan mak tok menyimpan rapi gelas berwajah Tunku Abdul Rahman ini dengan baik. Saya amat bertuah menjadi generasi ketiga dapat menyimpan peninggalan bersejarah ini,” katanya yang merupakan cucu lelaki sulung pasangan warga emas ini.
Terdapat dua rekaan gelas dengan 12 biji gelas setiap rekaan menjadikan 24 biji gelas kesemuanya yang diterima sewaktu hari perkahwinan datuk serta neneknya itu pada tahun 1957.
Kini, gelas tersebut sebahagiannya disimpan oleh Abdullah, anak serta cucunya sebagai kenangan bagi generasi akan datang dalam keluarga tersebut. – UTUSAN