JERANTUT: Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini mengambil inisiatif menjahit sendiri busana dipakai termasuk dua murid bagi memeriahkan bulan kemerdekaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noor Hasliza Mohd. Ghazali berkata, dia dan guru lain berkongsi wang membeli Jalur Gemilang serta menjahit busana sempena sambutan kemerdekaan di sekolah itu.
“Ia untuk memeriahkan bulan kemerdekaan setiap tahun yang dijadikan acara penting di sekolah ini.
“Busana Jalur Gemilang yang dipakai oleh guru wanita dan beberapa orang murid yang dipilih cukup signifikan bagi membangkitkan semangat patriotisme serta penghayatan sejarah kemerdekaan,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.
Guru Prasekolah, Siti Khalidah Mohd. Banod pula berkata, ada sebilangan busana Jalur Gemilang yang dipakai pada sambutan tahun lalu masih elok disimpan dan turut dipakai murid yang mengambil bahagian dalam acara kuiz kemerdekaan, persembahan puisi dan lagu patriotik serta aktiviti tertentu.
“Pemakaian busana Jalur Gemilang cukup bermakna bagi membangkitkan semangat patriotik berasaskan kejayaan tokoh negarawan sebelum ini,” katanya.
Siti Khalidah berharap, hal berkenaan dititip kepada murid kelas prasekolah menerusi aktiviti mengibar serta mewarna Jalur Gemilang dan nyanyian lagu patriotik.
Murid Tahun Satu, Nur Masyitah Madiha Mohd. Mazri berkata, dia berbangga kerana dipilih membawa kek ‘Hari Kemerdekaan 31 Ogos’ ke atas pentas untuk dipotong Guru Besar, Mat Romli Norman. – UTUSAN