PETALING JAYA: Lagu popular era 90an , Gugurnya Bunga Cinta bakal dipersembahkan dalam versi Islamik oleh penyanyi, Nizam Laksamana semasa Konsert Mega Zikir Terapi di Zepp Kuala Lumpur, 16 September depan.
Nizam berkata, versi baharu itu diberi judul Gugurkan Dosa Hamba yang liriknya dihasilkan oleh Mohd. Burhan Ibnu Zakaria dengan bertemakan alam kehidupan yang bertauhid.
Kongsinya, lirik versi baharu itu dicipta semasa dia menunaikan umrah di tanah suci dengan mengekalkan melodi dan muzik asalnya.
“Ustaz dari agensi umrah yang saya sertai itu memang teringin sangat hendak hasilkan lirik lagu tersebut untuk saya. Jadi, saya lihat lirik itu sangat sesuai dan sungguh dekat dengan alam kehidupan yang bertauhid.
“Kali pertama saya alunkan lagu itu secara acapella semasa berada di sebuah tempat istirehat keluarga di sebuah taman di Madinah.
“Jadi, bila Dr. Fitri Haris pelawa, saya terus bersetuju sebab kebetulan memang sudah ada lirik versi Islamik yang akan dinyanyikan nanti. Dengarkan kelainan daripada kebiasaan yang pernah saya bawa semasa di konsert dan persembahan nyanyian lain. Moga Allah SWT merahmati konsert ini,” katanya.
Gugurnya Bunga Cinta pernah menjadi siulan ramai dan hits sekitar 1991, selepas kemunculan album berjudul Syukur oleh kumpulan Laksamana yang terkenal dengan genre rock balada.
Lagu tersebut dicipta oleh komposer, Ismail Ahmad Nawab dan lirik dihasilkan oleh Nizam sendiri. Mengimbas memori, Nizam berkata, asalnya beberapa lirik ditolak oleh penerbit disebabkan tidak bersesuaian dengan melodi.
“Alhamdulillah, akhirnya lirik yang terakhir diterima dan rezeki lagu itu menjadi hits dan kekal malar segar sehingga sekarang,” kongsinya.
Sekadar info, Nizam mula bermain muzik pada majlis perkahwinan sekitar 1988 sebelum mendapat dorongan daripada sepupunya untuk berjinak dalam bidang nyanyian.
Bersama Laksamana, Nizam menghasilkan dua album berjudul Syukur (1991) dan Resah (1992). Nizam juga pernah tampil dengan album solo berjudul Memanah Bintang (1995).
Buat julung kalinya, acara zikir berskala besar dianjurkan di pentas berprestij di ibu kota berkonsepkan kerohanian dan hiburan. Persembahan bakal diiringi kumpulan Chaan dan Leman Band yang menggabungkan elemen tradisional, moden dan fusion.
Vokalis kumpulan UNIC, Dr. Fitri Haris bertindak selaku pengarah konsert, manakala Hafiz Hamidun selaku pengarah susunan seni suara.
Antara artis tanah air yang bakal menjayakan konsert ialah Lan Solo, Zehra Zambri, Aniq Muhai, Ikhwan Fatanna, Afad Raihan, Fedtri Yahya, Ustaz Tarmizi, Ustazah Sofiza dan kumpulan Rabithah.
Selain Gugurnya Dosa Hamba, Nizam bakal berduet dengan Lan Solo menerusi lagu medley.
Konsert dianjurkan oleh Niyat Group dan mendapat sokongan geran Dana Kandungan Digital (DKD) yang diperuntukkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi MyCreative Ventures.