PETALING JAYA: Grab Malaysia (Grab) melalui pemandu dan penghantar mereka bersama-sama menyertai perarakan Hari Kebangsaan 2023 di empat buah negeri bagi menunjukkan semangat patriotik.
Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, pemandu dan rakan penghantar Grab sudah menyumbang kepada perkembangan ekonomi gig dan keusahawanan di Malaysia dengan gigih serta dedikasi.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan kongsi kami iaitu pemandu dan penghantar kerana tidak jemu berkhidmat serta menyumbang kepada keperluan negara dan masyarakat melalui ekonomi gig.
“Semasa negara sedang berkembang, rakan kongsi Grab sudah memainkan peranan penting dalam memacu keterangkuman ekonomi dan memperkasakan individu untuk mencipta mata pencarian yang mampan.
Penyertaan mereka (pemandu dan penghantar) dalam Perarakan Hari Kebangsaan ini melambangkan dedikasi mereka untuk memacu ekonomi dan komitmen mereka untuk membina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Grab menyertai perarakan yang diadakan di Johor Bharu, Johor; Kota Kinabalu, Sabah, Penang dan juga Kuantan, Pahang. – UTUSAN