KANGAR: Generasi muda khususnya perlu memainkan peranan penting sebagai bakal pemimpin yang berketerampilan dan dikagumi pada masa akan datang.
Mereka juga berperanan dalam membantu memacu Perlis menjadi sebuah negeri berdaya saing dan maju di masa hadapan.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelbagai aspek pembangunan rohani dan jasmani perlu diterapkan secara seimbang dan menyeluruh ke dalam diri.
Titah baginda, hal demikian penting agar mereka memiliki kewibaan falsafah hidup yang tinggi mendepani cabaran mendatang.
Baginda bertitah, proses membentuk jati diri generasi muda terutama dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah menengah harus mempunyai kesinambungan yang berterusan.
“Generasi muda tidak dapat lari daripada hakikat bahawa suatu harı nanti, mereka bakal menjadi seorang pemimpin yang menerajui sama ada sesebuah organisasi kecil sehinggalah ke sebuah negeri atau negara.
“Oleh itu, kesiapsiagaan yang bermula dari peringkat sekolah, harus dimanfaatkan oleh setiap pelajar dalam melahirkan generasi kepimpinan yang kompetitif dan unggul di negeri Perlis,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenaan berangkat ke majlis penutup Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) Untuk Pelajar Terbaik/Cemerlang dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah negeri Perlis di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus: Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Naharudeen Othman.
YTSP Perlis dengan kerjasama erat Jabatan Pendidikan negeri, MAIPs dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), komited meneruskan tradisi selama 15 tahun menganjurkan bengkel bagi menghimpunkan 97 Pelajar cemerlang dan pengawas terpilih dari seluruh sekolah menengah negeri Perlis dalam usaha melahirkan barisan pemimpin yang dapat dilatih dan digarap potensi kepimpinan mereka agar menjadi contoh kepada rakan sebaya yang lain.
Sementara itu, Johari berkata, aspek kepimpinan menjadi penekanan utama kepada pelajar yang mengikuti bengkel ini bagi memberi pendedahan awal ciri-ciri kepimpinan yang berwibawa.
“Kita ‘membedah siasat’ potensi sebenar kepimpinan yang ada di dalam diri meraka yang belum pernah mereka ketahui selama ini.
“Kita juga cuba rungkaikan agar mereka dapat menyelami dan faham maksud disebalik tanggungjawab sebagai seorang yang memiliki karakter kepimpinan yang harmonis dari segi intelek, emosi, dan mentaliti, “ katanya.
Pelbagai pengisian telah dijalankan sepanjang bengkel selama tiga hari itu antaranya kerja berkumpulan kepimpinan, kefahaman Perlembagaan, pemerintahan negara Malaysia dan pelbagai lagi.-UTUSAN