‘Gila talak’ paling optimum - Ahmad Zahid

‘Gila talak’ paling optimum – Ahmad Zahid

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berhubung pertukaran sokongan pengundi Johor kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya kecil (PRK) negeri itu sebagai gila talak. 

Beliau berkata, apa juga kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemimpin tertinggi UMNO itu bukan lagi mewakili parti itu sebaliknya mewakili pihak lawan.

“Yang bercakap itu adalah bekas pemimpin UMNO yang tahap ‘kegilatalakkannya’ berada pada peringkat optimum. Apa yang dinyatakan bukan lagi mewakili UMNO tetapi mewakili seteru politik UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Risda, Ulu Keratong, di sini, hari ini.

AHMAD Zahid Hamidi (tiga dari kiri) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Risda, Ulu Keratong, Rompin, Pahang. – UTUSAN/NORHAFIZANZULKIFLI

Ahmad Zahid berkata, rasionaliti politik pengundi Johor sangat berbeza yang mana mereka dikatakan telah menolak isu-isu sempit sebagaimana yang dibangkitkan pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri lalu, umpamanyamemainkan sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum).

“Walaupun mereka mendapat sokongan dan semangat yang tinggi di dalam PRN di enam negeri itu, tapi situasi di Johor adalah berbeza dan orang Johor tidak akan pernah dengan mudah menerima isu-isu yang terkait terutama mengenai 3R ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO telah memulakan langkah-langkah untuk menambah luas penggunaan sosial media terutama bagi menghadapi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini. 

“Ia agak kurang berkesan dalam pilihan raya lalu kerana baharu sahaja dimulakan. Maka pengikut dalam kalangan pempengaruh kita agak ketinggalan. Jadi belajar daripada pengalaman itu kita telah menambah baik penggunaan sosial media. Insya-Allah kita juga mempunyai beberapa pendekatan lain terutama daripada Wanita UMNO sendiri yang bergerak bukan lagi menggunakan kajian sikap atau cara konvensional tetapi mereka telah mengubah kaedah untuk melihat corak sokongan atau sebaliknya kepada calon Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Menyentuh tentang kekeliruan pengundi ketika mengundi berikutan ketiadaan lambang dacing di dalam kertas undi, Ahmad Zahid berkata, beliau telah menggerakkan jentera di kedua-dua kawasan bagi menjelaskan isu kekeliruan terbabit.

“Saya telah menggerakkan jentera di Pulai pada malam sebelum penamaan calon dan semalam kita telah menggerakkan jentera kita di Simpang Jeram. Saya juga telah bertemu dengan jawatankuasa bahagian empat peringkat iaitu di Simpang Jeram dan sebelum itu jawatankuasa empat peringkat Pulai. 

“Saya yakin dengan bantuan kepimpinan bahagian-bahagian seluruh Johor, kita menjelaskan di sini pengundi-pengundi kita tidak harus keliru semula,” katanya.

Annuar dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan Johor sebagai negeri benteng terakhir UMNO dan PRK Parlimen Pulai serta Dun Simpang Jeram bakal menguji sejauh mana parti itu dapat memberi nilai tambah kepada Kerajaan Madani berikutan UMNO dilihat gagal berbuat sedemikian pada PRN, baru-baru ini.

Katanya, tidak mustahil Melayu Johor mengundi dengan bijaksana untuk menghantar isyarat kepada pemimpin UMNO luar Johor yang dilihat terus menjadi liabiliti kepada parti itu sendiri.

“Jika itu berlaku, tidak mustahil Bangsa Johor akan memberi sokongan secara pukal kepada PN dan ia menjadi ubat pahit terakhir untuk membaiki UMNO,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya