PADANG TERAP: Perikatan Nasional (PN) mendakwa gelombang kebangkitan rakyat terutama melibatkan golongan muda kepada gabungan itu lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada PRU15 juga, gelombang tersebut hanya didapati berlaku pada saat-saat akhir yang berbeza dengan suasana ketika PRN kali ini yang didakwa berlaku lebih awal.
“Pada masa itu (PRU15), kita tak nampak (gelombang) sebab payah nak baca anak muda kerana seramai tujuh juta (pengundi baharu) yang masuk dalam sistem pilihan raya, kita tidak tahu ke mana hala tuju mereka.
“Dekat pilihan raya baru kita lihat gelombang bersama PN. Berbeza dengan sekarang iaitu dari awal lagi sebelum hari penamaan calon, gelombang PN berlaku di seluruh enam negeri ini,” ujarnya,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu di Pekan Naka, malam tadi..
Tambah Tuan Ibrahim, gelombang terbabit didakwa tidak boleh dibendung lagi kerana ia boleh disaksikan di mana-mana sahaja yang akan diterjemahkan pada hari pengundian PRN, 12 Ogos nanti.
Berdasarkan situasi itu, kata beliau, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa berada dalam kebimbangan.
“Sebab itu mereka bimbang dan tengok siapa ‘kepala’ (PN), iaitu Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor). Sebab itu dia wirid Sanusi, Sanusi. Tidur malam pun mimpi Sanusi.
“Sanusi kita lantik Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, dia jadi pengarah atau seperti komander tentera. Dia tahu nak bawa dan hadap macam mana serta strategi yang perlu dibuat,” jelasnya.
Katanya, jika gelombang itu berterusan di seluruh negara dan seterusnya memberi kemenangan besar kepada PN, ia dipercayai akan mengganggu kedudukan PH dalam Kerajaan Persekutuan. –UTUSAN