PUTRAJAYA: Penampilan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencuri tumpuan pengunjung pada sambutan Hari Kebangsaan 2023.
Telatah ceria dua ‘Azizah’ itu turut menjadi tumpuan lensa kamera terutama apabila Raja Permaisuri Agong dilihat teruja merakamkan momen istimewa persembahan yang dipamerkan dan barisan perarakan yang melintasi pentas utama.
Rata-rata pengunjung yang hadir di Dataran Putrajaya terus tersenyum, malah menterjemahkan personaliti Tunku Azizah yang sentiasa dekat di hati rakyat.
Sepanjang sambutan Hari Kebangsaan, Tuanku Azizah dan Wan Azizah dilihat memberikan sokongan padu kepada setiap peserta kontinjen dengan melambaikan tangan serta mengibarkan Jalur Gemilang.
Aksi Tunku Azizah bersama tiga cucunda Seri Paduka yang turut berkenan hadir memakai pakaian seragam askar turut menjadi tumpuan orang ramai.
Seri Paduka juga dilihat tidak lupa memberikan aksi ‘mini love’ kepada kontinjen yang melakukan perbarisan.
Sambutan tahun ini melibatkan lebih 17,000 peserta dan 66 kontinjen yang menjayakannya berteraskan “Kepelbagaian Dalam Perpaduan”. – UTUSAN