MELAKA: Bimbang berlaku kerosakan dan kecacatan bangunan khususnya pada bangunan merah serta sekitarnya menjadi sebab utama kerajaan negeri ingin memperkenalkan zon bebas kenderaan bermula dari Persimpangan Padang Nyiru hingga Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, kemasukan antara 25,000 hingga 27,000 kenderaan ke laluan tersebut setiap hujung minggu menyebabkan gegaran yang boleh menjejaskan infrastruktur bangunan bersejarah sekitarnya.
Menurutnya, zon bebas kenderaan adalah salah satu kaedah yang dilihat dapat memastikan jumlah kenderaan memasuki kawasan itu dapat dikawal agar bangunan mampu dijaga dengan baik.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memulihara bangunan-bangunan sejarah untuk warisan masa hadapan. Bayangkan kemasukan 25,000 hingga 27,000 kenderaan setiap minggu sebenarnya mewujudkan gegaran yang dibimbangi boleh merosakkan infrastrukur bangunan sekitarnya.
“Kita memikirkan untuk lihat bagaimana negara-negara di Eropah boleh mengawal bangunan bersejarah mereka dan salah satu kaedah adalah mengawal kemasukan kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tanggungjawab sosial korporat di Cat Supermarket, Taman Paya Rumput di sini, hari ini.
Rais berkata, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab menjaga dan memulihara seluruh bangunan bersejarah di kawasan tersebut selari dengan pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2008.
Mengulas mengenai percubaan zon bebas kenderaan yang mula dilaksanakan minggu lalu, beliau memaklumkan, hasil pemantauan melalui media sosial pihaknya menerima banyak aduan dan komen positif.
Menurutnya, kerajaan negeri bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menambah baik setiap aduan bagi memajukan lagi kawasan tersebut.
Berhubung berlakunya kesesakan jalan raya, ujarnya, pihaknya telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari jalan terbaik mengatasi masalah tersebut.
“Penutupan jalan dari Persimpangan Padang Nyiru hingga Menara Taming Sari setiap Sabtu bermula dari pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam akan berterusan sehingga satu keputusan diambil,” jelasnya. – UTUSAN